SIBU: Cabaran mengenal pasti sempadan tanah, ketiadaan pewaris sah serta faktor geografi seperti kawasan berbukit dan berpaya menjadi antara halangan utama dalam pelaksanaan tiga projek pembangunan infrastruktur luar bandar di bahagian ini.
Penguasa Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sibu Chua Soh Kee (gambar) berkata, kekangan tersebut telah menyebabkan kelewatan dalam proses pengukuran, pengesahan pemilikan dan pembayaran pampasan kepada pemilik tanah yang terlibat.
“Selain kesukaran logistik di lokasi terpencil, isu pertindihan tuntutan serta dokumen pemilikan yang tidak lengkap turut menyumbang kepada kelewatan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Cek Pampasan Tanah dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri Bagi Bahagian Sibu di sini, hari ini yang disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Namun begitu katanya, kerajaan tetap komited menyelesaikan proses pampasan dengan menyalurkan sejumlah RM6.79 juta kepada 365 penerima melibatkan tiga projek utama.
Projek pertama adalah pembinaan Jalan Akses ke Transmission Line Baleh–Mapai 500kV yang melibatkan 190 plot tanah NCR seluas 36.8 hektar, dengan pampasan berjumlah RM2.25 juta.
Projek kedua membabitkan pembinaan jalan ke Rumah Jingga, Rumah Seli, David Multifarm dan SK Singat di Sungai Lengan, melibatkan lima lot tanah hak milik dan 111 plot tanah NCR seluas 41.3 hektar, dengan pampasan sebanyak RM1.1 juta.
Projek ketiga adalah naik taraf Loji Rawatan Air Salim daripada 50 juta liter sehari (MLD) kepada 300 MLD, membabitkan 58 lot tanah hak milik seluas 2.76 hektar, dengan bayaran pampasan RM3.43 juta.
Menurut Chua, ketiga-tiga projek itu akan meningkatkan akses jalan luar bandar, menjamin bekalan air bersih dan menambah baik kecekapan sistem tenaga di kawasan terbabit.
Sebanyak 519 cek pampasan telah diserahkan kepada pemilik terlibat, sekali gus mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap hak dan kebajikan rakyat.
Beliau turut menggesa ketua masyarakat, ketua kaum dan tuai rumah terus bekerjasama dalam mempercepatkan proses pengesahan dan pengukuran tanah.
“Dengan sokongan semua pihak, kita dapat mempercepat pembangunan luar bandar dan memastikan manfaatnya dinikmati secara adil serta menyeluruh,” katanya.