SARIKEI: Kerajaan Sarawak komited dalam mengutamakan pembangunan luar bandar, termasuk menyediakan kemudahan infrastruktur dan utiliti, kata Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh.
Katanya, ini bertujuan memastikan kesejahteraan masyarakat luar bandar serta meningkatkan kegiatan ekonomi penduduk.
“Pembangunan infrastruktur asas seperti jalan raya, elektrik, dan air adalah penting untuk menghubungkan kawasan luar bandar ke pusat ekonomi. Ini perlu dilakukan secara berterusan dan berfasa.
“Kerajaan ingin memastikan penduduk luar bandar dapat menikmati hasil pembangunan yang seiring dengan kemajuan rakyat di bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis penyampaian cek pampasan di Bangunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sarawak (IAC) Bahagian Sarikei semalam.
Len, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, turut memberitahu bahawa untuk membangunkan kesemua infrastruktur, kerajaan memerlukan tanah bagi melaksanakan pembangunan.
Jelasnya, pengambilan tanah adalah perkara yang tidak dapat dielakkan untuk memastikan projek pembangunan dapat dilaksanakan demi kepentingan awam.
“Kerajaan perlu mengambil balik tanah, sama ada ia melibatkan tanah berhakmilik atau tanah yang tertakluk kepada tuntutan Tanah Hak Adat (NCR), untuk melaksanakan projek pembangunan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat,” tegasnya.
“Sehubungan itu, kesinambungan daripada projek ini, satu projek laluan feri bernilai RM24 juta akan dilaksanakan untuk melengkapkan akses perhubungan ke Bandar Sarikei melalui Tanah Putih menuju ke Jalan Pasi tanpa menggunakan perhubungan sungai.
“Kawasan ini unik kerana ketiga-tiga masyarakat Melayu (Bugis), Iban, dan Cina bermastautin di kawasan ini dan ia hanya dapat diakses melalui Sungai Batang Rajang.
“Projek ini adalah di bawah Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) dan jika dilaksanakan, ia akan menjadi projek pertama yang dilaksanakan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Len turut memberitahu bahawa kawasan Parit Bugis dan Bukit Huang pada asalnya merupakan kawasan pengeluar hasil pertanian seperti nanas, kopi, kelapa, dan sayur-sayuran di Bahagian Sarikei.
Namun, disebabkan tiada kemudahan yang teratur, kawasan pertanian ini dimasuki air masin, menjadikannya tidak sesuai untuk pengeluaran hasil tani.
“Apabila projek jalan ini siap, ia bukan sahaja akan memberi kemudahan jalan perhubungan, tetapi juga mampu menyekat kemasukan air masin sekali gus membolehkan semula pertanian komersial.
“Jabatan Pertanian juga telah mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk dibangunkan sebagai taman pertanian,” tambahnya.
Terdahulu, seramai 51 pemilik tanah menerima cek pampasan berjumlah RM644,995.60 daripada Kerajaan Sarawak sebagai sebahagian proses pengambilan balik tanah bagi pelaksanaan Projek Jalan Sekolah Kebangsaan (SK) Muara Payang di Kampung Bugis/Bukit Huang/Skim Muara Payang, Sarikei.
Projek jalan sepanjang tujuh kilometer itu melibatkan 91 bidang tanah berkeluasan 32.7199 hektar (80.85 ekar) dan merupakan salah satu projek di bawah RADDA, dilaksanakan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak bernilai RM45 juta.
RAKAM KENANGAN… Len (duduk tengah) merakam kenangan bersama yang lain selepas menyempurnakan majlis tersebut.