KUCHING: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak memperkukuh usaha membanteras rasuah dengan melaksanakan Anti Bribery Management System (ABMS) dalam pengurusan tanah negeri menerusi Program Pengukuhan Integriti dan Anti Rasuah.
Menurut kenyataan JTS, program yang berlangsung di Auditorium Wisma Sabati pada 21 Mac itu bertujuan memperkukuh ketelusan dan integriti, selaras dengan komitmen jabatan untuk mewujudkan persekitaran kerja yang bebas rasuah dan beretika.
“ABMS akan diterapkan secara menyeluruh di jabatan bagi memastikan tiada unsur rasuah dalam pengurusan tanah, selain menanamkan kesedaran terhadap kepentingan pengurusan risiko rasuah dalam kalangan pegawai.
“Pelaksanaan ABMS ini akan memastikan proses dan prosedur kerja dipenuhi berdasarkan prinsip ketelusan, keadilan, dan keberkesanan tanpa sebarang elemen rasuah,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Antara pengisian utama dalam program tersebut ialah ceramah mengenai kepentingan integriti dan pelaksanaan ABMS oleh Ketua Unit Integriti jabatan, yang juga Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO), Siti Romiza Romali.
Sebagai simbol komitmen, sesi Lafaz Ikrar Bebas Rasuah turut diadakan, dipimpin oleh Pegawai Penguat Kuasa jabatan, Alexander Ronny Michael Densy, serta disertai 200 pegawai dan warga kerja dari ibu pejabat serta JTS Bahagian Kuching, Samarahan, dan Serian.
Turut hadir, Timbalan Pengarah (Pengurusan) JTS, Rozlan Putit.
Pelaksanaan ABMS ini selaras dengan usaha Kerajaan Sarawak untuk membentuk persekitaran kerja yang bersih, berintegriti, serta meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pengurusan tanah negeri.