KUCHING: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak terus mengorak langkah ke hadapan dengan memperkenalkan tema ‘Menyinergikan Pentadbiran Tanah yang Dikuasakan oleh AI’.
Ia adalah satu pendekatan inovatif yang menggabungkan kecekapan teknologi
kecerdasan buatan (AI) dengan kepakaran tradisional.
Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata langkah ini bukan sahaja bertujuan untuk memperkukuh sistem pentadbiran tanah di negeri ini tetapi juga menekankan kepentingan sinergi strategik antara semua pihak berkepentingan.
“Keunikan sistem pentadbiran tanah di Sarawak mempunyai kelebihan tersendiri kerana semua aspek berkaitan, termasuk penilaian hartanah, urusan tanah dan sebagainya, berada di bawah satu bumbung, iaitu JTS.
“Ini berbeza dengan yang di Semenanjung Malaysia, di mana setiap aspek diuruskan oleh agensi berasingan, seperti Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), dan beberapa yang lain,” katanya.
Awang Tengah berkata demikian pada Majlis Penutupan Sidang Kemuncak Tanah dan Ukur (LANDAS) 2025 di sebuah hotel di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau turut menekankan bahawa peranan Pengarah Tanah dan Survei Sarawak adalah penting dalam memastikan kesemua cawangan dalam JTS bergerak secara sinergistik dan efisien.
Katanya, dalam usaha ini, Land and Survey Information System (LASIS) Next-Gen turut diintegrasikan dengan teknologi AI bagi meningkatkan lagi kecekapan pentadbiran tanah.
“Teknologi AI telah membuka peluang luar biasa dalam memodenkan sistem pentadbiran tanah.
“Melalui integrasi data yang lebih tepat serta sistem pintar, AI membantu mengurangkan ralat, meningkatkan ketelusan, dan mempercepatkan proses kerja,” katanya lagi.
Beliau turut menambah bahawa pemanfaatan teknologi ini juga membolehkan pemantauan perubahan sempadan dilakukan dengan lebih tepat, dan pengurusan sumber tanah dapat dilaksanakan secara lestari.
“Ini amat penting dalam menghadapi cabaran pembangunan pesat di Sarawak, sekali gus memastikan penggunaan tanah lebih strategik dan mampan.
“Namun, bagi menjayakan transformasi digital ini, sokongan dan kerjasama menyeluruh daripada semua pihak amat diperlukan,” katanya lagi.
Awang Tengah turut menggalakkan pendidikan serta latihan berterusan kepada setiap pegawai dan kakitangan bagi memastikan mereka dapat mengadaptasi teknologi baharu dengan berkesan.