News

 

AI buka peluang modenkan sistem pentadbiran tanah di Sarawak: Awang Tengah

Posted on 03 Mar 2025
Source of News: Utusan Borneo


Awang Tengah (empat kanan) menyaksikan penyerahan sijil MS ISO 37001:2016 ABMS daripada ahli lembaga NIOSH Certification Sdn Bhd, Thomas Balan Bang (kiri) kepada Pengarah LANDAS Awang Zamhari Awang Mahmood pada majlis tersebut. - Gambar Chimon Upon

KUCHING: Teknologi kecerdasan buatan (AI) telah membuka peluang luar biasa dalam memodenkan sistem pentadbiran tanah di Sarawak, demikian kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.

Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua itu berkata, melalui penyepaduan data yang lebih tepat dan sistem pintar, perkhidmatan awam Sarawak akan mencapai pengurusan tanah yang lebih cekap, telus dan berdaya saing.

"Justeru, Sistem Maklumat Tanah dan Ukur (LASIS) Next-Gen juga perlu bersinergi dengan teknologi AI untuk penyampaian perkhidmatan pentadbiran tanah yang lebih cekap," katanya ketika menutup Sidang Kemuncak Jabatan Tanah dan Survei (LANDAS) Sarawak 2025 di Kuching, malam Rabu.

Beliau berkata, AI bukan sahaja membantu dalam mengautomasikan proses pentadbiran tetapi juga meningkatkan keupayaan untuk menganalisis data secara mendalam, mengenal pasti corak dan membuat ramalan yang tepat.

Beliau berpendapat pendekatan ini akan mengurangkan kesilapan dan meningkatkan kecekapan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

"Dengan penggunaan teknologi AI, kami boleh memantau perubahan sempadan, menganalisis data geospatial dengan lebih tepat serta mengurus tanah secara mampan.

"Ini amat penting dalam menghadapi cabaran seperti pertumbuhan pembangunan yang pesat.

"Teknologi AI membantu kita mendapatkan gambaran penggunaan tanah yang lebih komprehensif dan tepat serta menyokong dasar pembangunan mampan," jelasnya.

Awang Tengah menegaskan perlu ada penglibatan berterusan dengan rakyat supaya mereka mengalami prosedur berurusan dengan jabatan ini.

"Mensinergikan pentadbiran tanah yang dikuasakan oleh AI ialah pendekatan yang bukan sahaja menggabungkan kemahiran teknologi dan kepakaran konvensional tetapi juga menekankan sinergi atau kerjasama strategik dan kecekapan dalam kalangan pihak berkepentingan," katanya lagi.

"Bukan itu sahaja, malah sinergi ini juga perlu kukuh antara bahagian dalam jabatan. Uniknya bagi kita di Sarawak semua urusan pengurusan dan pentadbiran tanah diletakkan di bawah bumbung yang sama iaitu LANDAS."

Mengenai pensijilan MS ISO 37001:2016 Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS) jabatan itu, beliau berkata sistem itu menawarkan garis panduan untuk mengendalikan pencegahan rasuah dari segi pengenalpastian, pencegahan, pengurusan, penguatkuasaan dan penilaian serta meningkatkan tahap integriti dan akauntabiliti dan tadbir urus.

Ia katanya, merangkumi bidang antaranya penyediaan tanah, perancangan, penilaian, ukur dan penguatkuasaan undang-undang tanah di bawah Kanun Tanah Sarawak.

"Dengan pensijilan ABMS, orag ramai boleh yakin bahawa mereka boleh berurusan dengan LANDAS Sarawak dan mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap jabatan ini khususnya dan dalam perkhidmatan awam negeri secara amnya.

"Teknologi tanpa kawalan mempunyai risikonya, justeru adalah penting bagi jabatan untuk mempunyai mekanisma pemantauan standart untuk mencegah tindakan yang melanggar undang-undang," katanya lagi.


 


image Polls
image Announcement