KUCHING: Dua projek berasaskan kecerdasan buatan (AI) berjaya meraih Anugerah Emas dalam Anugerah Inovasi Antarabangsa (IIA) di pameran Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) 2025 edisi ke-24, di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut satu kenyataan, Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak meraih pengiktirafan antarabangsa menerusi inovasi Smart Patrol dari JTS Mukah dan i-Telcos (Aplikasi Pintar Sistem Menara Telekomunikasi) dari JTS Samarahan.
“Dua lagi inovasi JTS turut menerima Anugerah Perak, iaitu Retrace oleh JTS Sri Aman dan SARCOM (Sarawak Control Monument) dari JTS Kapit,” katanya menerusi satu kenyataan.
Anugerah bagi kategori IIA ini telah disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaya, Prof Ir Dr Kaharudin Dimyati.
Tambahnya, IIA merupakan pengiktirafan kepada inovasi yang menunjukkan potensi komersial tinggi dan solusi inovatif.
“Ini merupakan penyertaan kedua JTS dalam kategori ini yang dinilai di peringkat antarabangsa dengan penekanan terhadap penyelidikan dan pembangunan.
“Projek inovasi pada tahun ini juga dinilai berdasarkan adaptasi AI dalam elemen penyelesaian projek, selaras dengan perkembangan teknologi semasa,” jelasnya.
Terdahulu, semalam JTS Sarawak turut menerima tiga Anugerah Emas dalam kategori Inovasi Perkhidmatan Awam Asia (PSIA) di pentas yang sama.
Sebanyak 438 projek inovasi dipamerkan pada MTE 2025, melibatkan penyertaan pelbagai organisasi, syarikat, institusi pengajian tinggi, dan penyelidik antarabangsa.