News

 

JTS Sarawak raih tiga anugerah emas kategori PSIA MTE 2025

Posted on 24 Feb 2025
Source of News: Utusan Borneo


Hii (depan, lima kiri) merakamkan kenangan bersama pasukan JTS Sarawak diketuai Penolong Pengarah Survei JTS Ramzi Abdillah pada majlis tersebut. Turut hadir, Pengarah Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak Superi Awang Said. - Gambar JTS Sarawak

KUCHING: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak meraih tiga anugerah emas bagi kategori Public Service Innovation Asia (PSIA) Malaysia Technology Expo (MTE) 2025 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur hari ini.

Menurut kenyataan JTS, tiga anugerah itu diperoleh melalui projek inovasi Smart Patrol dari JTS Bahagian Mukah, inovasi Retrace oleh JTS Sri Aman dan inovasi i-Telcos (Intelligent Application of Telecommunication Tower System) oleh JTS Samarahan.

Katanya, satu lagi projek inovasi dari JTS Kapit, iaitu inovasi SARCOM (Sarawak Control Monument) memperoleh anugerah perak.

Anugerah bagi PSIA itu telah disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee.

“PSIA bertujuan sebagai platform untuk sektor perkhidmatan awam mengetengahkan inovasi yang dibangunkan oleh agensi sendiri secara dalaman.

“Selain itu, ia juga merupakan platform pengiktirafan serta mendorong meningkatkan keberkesanan dan kualiti penyampaian perkhidmatan untuk rakyat dengan menggunakan trend teknologi terkini,” menurut kenyataan itu.

JTS berkata, penganugerahan PSIA kali ini juga menilai penekanan dan adaptasi kecerdasan buatan (AI) dalam projek inovasi yang dibangunkan.

Sementara itu, keempat-empat projek itu turut menerima anugerah khas dari pelbagai institusi inovasi antarabangsa sebagai pengiktirafan untuk kecemerlangan pembangunan projek inovasi tersebut.

Projek i-Telcos telah menerima Anugerah Khas dari Haller Pro Inventio Foundation dari Poland dan SARCOM menerima Anugerah Khas dari Toronto International Society of Innovation and Advanced Skills (TISIAS), Kanada.

Sementara itu, projek Retrace pula menerima Anugerah Khas Japan Intellectual Property Association (JIPA), Japan dan projek Smart Patrol menerima Anugerah Khas International Federation of Inventor’s Association (IFIA).

Sebanyak 20 pempamer dari pelbagai agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri seluruh Malaysia telah menyertai MTE 2025 bagi kategori PSIA dengan mengetengahkan lebih 20 projek inovasi untuk dipertandingkan di bawah kategori tersebut.


 


image Polls
image Announcement