JTS SARAWAK RANGKUL TIGA EMAS MTE 2025
Posted on 24 Feb 2025
Source of News: UNIT PERHUBUNGAN AWAM, JABATAN TANAH DAN SURVEI SARAWAK
Pasukan JTS Sarawak diketuai Encik Ramzi bin Abdillah, Penolong Pengarah Survei JTS bersama YBhg Datu Hii Chang Kee dan Encik Superi bin Awang Said, Pengarah Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak.
Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak telah memperoleh tiga (3) anugerah emas bagi kategori Public Service Innovation Asia (PSIA) Malaysia Technology Expo (MTE) 2025 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur pada 21 Februari 2025.
Tiga emas ini diperoleh melalui projek inovasi Smart Patrol dari Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Mukah, inovasi Retrace oleh JTS Sri Aman, dan inovasi i-Telcos (Intelligent Application of Telecommunication Tower System) dari JTS Samarahan. Satu lagi projek inovasi dari JTS Kapit, iaitu inovasi SARCOM (Sarawak Control Monument) memperoleh anugerah perak.
Anugerah bagi PSIA ini telah disampaikan oleh YBhg Datu Hii Chang Kee, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi).
PSIA bertujuan sebagai platform untuk sektor perkhidmatan awam mengetengahkan inovasi yang dibangunkan oleh agensi sendiri secara dalaman. Selain itu, ia juga merupakan platform pengiktiran serta mendorong meningkatkan keberkesanan dan kualiti penyampaian perkhidmatan untuk rakyat dengan menggunakan trend teknologi terkini. Penilaian penganugerahan PSIA kali ini juga menilai penekanan dan adaptasi kecerdasan buatan (AI) di dalam projek inovasi yang dibangunkan.
Keempat-empat projek ini juga menerima anugerah khas dari pelbagai institusi inovasi antarabangsa sebagai pengiktirafan untuk kecemerlangan pembangunan projek inovasi tersebut. Projek i-Telcos telah menerima Anugerah Khas dari Haller Pro Inventio Foundation dari Poland dan SARCOM menerima Anugerah Khas dari Toronto International Society of Innovation and Advanced Skills (TISIAS), Kanada. Sementara itu, projek Retrace pula menerima Anugerah Khas Japan Intellectual Property Association (JIPA), Japan dan projek Smart Patrol menerima Anugerah Khas International Federation of Inventor’s Association (IFIA).
Sebanyak 20 pempamer dari pelbagai agensi Kerajaan Pusat dan Negeri seluruh Malaysia telah menyertai MTE 2025 bagi kategori PSIA dengan mengetengahkan lebih 20 projek inovasi untuk dipertandingkan di bawah kategori tersebut.