JTS Usaha Perkasa Perkhidmatan Kepada Rakyat Menerusi AI
Posted on 08 Feb 2025
Source of News: UKAS Sarawak
KUCHING: Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS) berusaha memperkasakan perkhidmatan kepada rakyat dengan memanfaatkan teknologi data dan kecerdasan buatan (AI).
Dalam satu kenyataan meida pada Jumaat, Pengarahnya, Awang Zamhari Awang Mahmood berkata, JTS kini bukan sekadar sebuah organisasi pentadbiran, tetapi sebuah institusi penting dalam pembangunan Sarawak, terutamanya dalam memastikan pengurusan dan pentadbiran tanah yang cekap, pembangunan infrastruktur yang terancang dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
“Selaras dengan agenda pendigitalan kerajaan negeri, bagi memastikan rakyat Sarawak mendapat perkhidmatan yang lebih pantas, lebih telus dan lebih mesra pengguna, saya percaya bahawa cabaran pada zaman kini menuntut jabatan untuk berubah, berinovasi dan bergerak ke arah perkhidmatan digital yang lebih cekap dan boleh dipercayai.
“JTS perlu komited untuk menyahut cabaran dengan melaksanakan perkara-perkara berikut iaitu pertama memodenkan sistem perkhidmatan dengan mempercepatkan pendigitalan proses kerja yang rancak diperkenalkan di pentas Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK),” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Kesyukuran Ulang Tahun yang ke-107 dan Sambutan Tahun Baru Cina 2025 di Menara Pelita di sini pada Jumaat.
Katanya lagi, menggunakan AI dan ‘big data’ mampu meningkatkan kecekapan dalam pemantauan, perancangan pembangunan serta penyampaian maklumat kepada rakyat dengan lebih cepat dan tepat.
Sambutan kemuncak majlis diteruskan dengan memotong kek menyambut ulang tahun ke-107 Tahun JTS oleh barisan pengurusan tertinggi jabatan dan sesi fotografi berkumpulan bersama seramai 450 warga kerja JTS. -EDISI UKAS