News

 

Perkhidmatan awam lebih cekap perlu diperkasakan dengan teknologi AI

Posted on 08 Feb 2025
Source of News: Suara Sarawak

KUCHING: Perkhidmatan awam perlu diperkasakan dengan memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan perkhidmatan lebih pantas, telus dan mesra pengguna.

Pengarah Tanah dan Survei Sarawak, Awang Zamhari Awang Mahmood berkata, perubahan ini bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan yang penting dalam menghadapi cabaran era digital.


Awang Zamhari dan barisan pengurusan tertinggi sama-sama menggaul ‘yee sang’ sebagai acara
simbolik Tahun Baharu Cina pada majlis semalam.

Awang Zamhari (dua kanan) dan barisan pengurusan tertinggi sama-sama memotong kek ulang tahun JTS.

Menerutnya, AI mampu mempercepatkan proses kerja, meningkatkan kecekapan dalam pemantauan, merancang pembangunan mampan serta menyampaikan maklumat kepada rakyat dengan lebih efisien dan tepat.

“Keputusan harus berasaskan maklumat yang sahih dan boleh dipercayai, terutamanya dalam menelusuri dunia kini yang semakin berasaskan data, selari dengan agenda pendigitalan Kerajaan Negeri.

“JTS (Jabatan Tanah dan Survei) perlu komited menyahut cabaran memodenkan sistem perkhidmatan dengan mempercepatkan pendigitalan proses kerja yang rancak diperkenalkan di pentas Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK),” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Kesyukuran Ulang Tahun ke-107 dan Sambutan Tahun Baharu Cina 2025 Jabatan Tanah dan Survei (JTS) di Menara Pelita pada Jumaat.

Tambahnya, langkah ini turut meningkatkan integrasi data antara cawangan-cawangan unit di dalam jabatan ini sendiri untuk mengurangkan risiko pertindihan maklumat dan percanggahan data.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan bahawa LANDAS Summit 2025, yang akan berlangsung dari 24 hingga 26 Februari, dijangka menjadi platform penting untuk membincangkan strategi penggunaan AI dalam perkhidmatan awam menjelang 2030.

Dalam pada itu, Awang Zamhari turut mengiktiraf dedikasi warga JTS yang menjadi tunjang kejayaan jabatan.

“Ulang tahun ke-107 ini bukan hasil usaha individu semata-mata, tetapi kejayaan bersama yang terhasil daripada komitmen, dedikasi dan kerja keras seluruh warga JTS sejak dahulu hingga kini,” ujarnya.

Beliau juga menyeru semua pihak memperkasakan semangat 3K, iaitu kecekapan, kebijaksanaan dan kesepaduan, untuk mencapai lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.

Sambutan kemuncak majlis turut diserikan dengan pemotongan kek ulang tahun ke-107 JTS oleh barisan pengurusan tertinggi jabatan, dan sesi fotografi berkumpulan bersama 450 warga JTS.



image Polls
image Announcement