Program Penyukatan Tanah NCR Diteruskan, Lindungi Hak Rakyat
Posted on 22 Jan 2025
Source of News: UKAS Sarawak
KAPIT: Kerajaan Sarawak akan meneruskan program penyukatan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) sebagai usaha untuk melindungi hak pemilikan tanah tersebut.
Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata inisiatif ini juga sejajar dengan aspirasi pembangunan negeri di bawah slogan Sarawak Maju Makmur.
Katanya, penyukatan tanah NCR bukti kerajaan komited dalam memastikan tanah pusaka rakyat terus terjamin dan dapat dibangunkan demi kepentingan generasi akan datang.
“Inilah bukti keprihatinan Kerajaan dalam memastikan tanah pusaka kita terus terjamin dan dapat dibangunkan kelak,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Dialog Penyukatan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) Seksyen 18 di Rumah Melinggang, Sungai Majau, Mujong, Kapit baru-baru ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Hulu Rajang turut menyeru Jabatan Tanah dan Survei (JTS) agar melaksanakan proses penyukatan dengan teratur dan sempurna bagi memastikan hak pemilikan tanah dapat diperjelaskan dengan lebih baik.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh Nicholas Kudi Jantai, ADUN Pelagus Wilson Nyabong Ijang, ketua-ketua jabatan, ketua kaum, serta penduduk setempat.-EDISI UKAS