Awla (duduk tengah) bergambar bersama para peserta dan penganjur Program Lan Berambeh: Randau Tanah UTM Land Sabei selepas tamat program di Dewan Serba Guna Kampung Nanas hari ini. - Gambar UKAS
SIMUNJAN: Program Lan Berambeh: Randau Tanah UTM Land Sabei yang dilaksanakan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersama Jabatan Tanah dan Survei (JTS) melabuhkan tirainya hari ini setelah dua hari satu malam diadakan di Dewan Serba Guna Kampung Nanas di sini.
Program yang bermula pada 11 Januari itu bertujuan memberi pendedahan kepada komuniti luar bandar mengenai ilmu berkaitan dasar tanah di Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris dalam laporan UKAS, berkata beliau amat menghargai pelaksanaan program ini kerana ia memberi peluang kepada komuniti luar bandar termasuk golongan belia untuk mempelajari lebih lanjut mengenai pengurusan dan pentadbiran tanah.
"Pengetahuan ini amat penting tidak hanya untuk masyarakat secara amnya tetapi juga untuk pengurusan tanah milikan sendiri.
"Saya dimaklumkan bahawa program ini telah memberi manfaat yang besar kepada semua peserta yang terlinat di mana program ini bukan sahaja melibatkan ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) tetapi juga melibatkan golongan belia yang perlu didedahkan dengan ilmu ini agar mereka lebih memahami aspek pengurusan tanah," katanya ketika merasmikan majlis penutupan program tersebut hari ini.
Awla berharap agar segala maklumat dan ilmu yang telah dikongsi sepanjang program ini dapat diterapkan dalam urusan harian peserta dan mengingatkan bahawa proses pembangunan adalah usaha yang berterusan dan memerlukan sokongan serta penglibatan aktif daripada semua pihak untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan.
"Tanpa sokongan dan penglibatan aktif daripada semua pihak kita tidak dapat mencapai matlamat yang telah kita tetapkan.
"Saya berharap agar segala perancangan dan usaha ini akan terus berjalan dengan lancar dan memenuhi keperluan masyarakat," katanya.
Program ini merangkumi pelbagai sesi yang melibatkan perbincangan dan perkongsian ilmu mengenai dasar tanah, hak milik tanah serta prosedur pengurusan tanah di Sarawak.
Para peserta juga diberikan peluang untuk berkongsi pengalaman dan bertanya soalan berkaitan isu tanah yang dihadapi di kawasan masing-masing.
Hadir sama, Timbalan Pengarah (Pengurusan) JTS Sarawak Rozlan Putit, Pegawai Daerah Simunjan Sanuyah Mohamad, pensyarah-pensyarah Kanan Program Pentadbiran dan Pembangunan Tanah, Fakulti Alam Bina dan Ukur UTM Dr Aminah Mohsin, Dr Zafirah Abdul Muin dan Dr Maryanti Mohd Raid, Penghulu Ahmad Dol Simpol dan Penghulu Abang Madehie Abang Junaidi.