KUCHING: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak berkata, semua permohonan lot tanah bagi tujuan kediaman di negeri ini hanya boleh dilakukan secara dalam talian melalui platform e-LASIS dan tidak menggunakan borang secara manual.
JTS menerusi kenyataan hari ini berkata, pihaknya menyediakan borang yang boleh dimuat turun secara percuma dari laman sesawang jabatan, membabitkan permohonan tanah untuk tujuan lain.
Menurutnya, ia susulan perbuatan individu tertentu yang dikesan menawarkan aktiviti perkhidmatan permohonan lot tanah melalui platform media sosial pada 8 Januari lalu.
"Untuk makluman, JTS tidak pernah melantik mana-mana individu, ejen atau pihak ketiga dalam urusan permohonan lot tanah.
"Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan untuk berhubung terus di mana-mana Pejabat Tanah dan Survei berdekatan jika ingin memohon tanah lot kediaman ataupun kegunaan lain," ujarnya.
JTS seterusnya menasihati orang ramai agar tidak terperdaya dengan perkhidmatan permohonan tanah lot yang ditawarkan oleh pihak ketiga di platform media sosial.
Tambahnya, jika terdapat aktiviti yang menawarkan perkhidmatan sedemikian, orang ramai disarankan untuk menghubungi Pejabat Tanah dan Survei berdekatan ataupun menghantar e-mel kepada landsurvey@sarawak.gov.my untuk pertanyaan lanjut.