20 Pemilik Tanah Di Roban Terima Cek Pampasan
Posted on 02 Jan 2025
Source of News: Ukas Sarawak
SARATOK: Seramai 20 pemilik tanah di kawasan Sabit, Roban telah menerima cek pampasan tanah untuk kegunaan Skim Pembesaran Kampung (SPK) Roban Fasa 2.
Majlis penyerahan cek tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri di Dewan Pejabat Daerah Saratok dan dianjurkan oleh Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Betong pada Khamis.
Projek ini melibatkan kawasan komuniti Iban dan Cina di bawah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N38 Kalaka.
Seluas 70.95 hektar tanah terlibat dengan pampasan keseluruhan berjumlah kira-kira RM5 juta.
Projek ini telah diluluskan oleh Majlis Perancangan Negeri pada 13 Jun 2023.
Proses pengambilan balik tanah dilakukan mengikut Notis Berkanun Seksyen 48 dan Seksyen 3 & 4 Kanun Tanah Sarawak yang diluluskan pada 29 September 2023.
Majlis tersebut dihadiri oleh kira-kira 100 orang, termasuk pemilik tanah yang menerima pampasan.
Hadir sama dalam majlis ini ialah Residen Bahagian Betong, Richard Micheal Abu Nawas; Pegawai Daerah Saratok, Mohamad Dino Amit dan Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Betong, TPrs. Morris Nayup.-EDISI UKAS