KOTA SAMARAHAN: Seramai 296 pemilik tanah dan 164 individu di Bahagian Samarahan menerima surat hak milik tanah dan cek pampasan berjumlah RM19.28 juta di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Sarawak, hari ini.
Surat hak milik tanah dan cek pampasan disampaikan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah mewakili Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Dalam teks ucapannya, Awang Tengah menekankan kepentingan pemilikan tanah kepada masyarakat Bumiputera di Sarawak khususnya di bawah program tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).
“Program Pengukuran Tanah NCR merupakan langkah kritikal ke arah mendapatkan hak milik tanah yang sah untuk rakyat kita.
“Sejak dimulakan pada 2010, lebih 1.1 juta hektar tanah NCR telah disukat, dan hari ini kita melihat hasil usaha itu,” katanya menambah Program NCR dilaksanakan dalam dua fasa.
Fasa pertama melibatkan ukur perimeter dan pewartaan tanah di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak, manakala fasa kedua memfokuskan kepada pengukuran lot individu dan pengeluaran hak milik tanah di bawah Seksyen 18.
Sementara itu, Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Samarahan Mohammad Zunica Mohamad Sapi’ee menzahirkan rasa terima kasih di atas kerjasama pelbagai jabatan dan masyarakat setempat dalam menjayakan majlis tersebut.
Beliau menekankan kepentingan upacara itu dalam Program Inisiatif NCR Baharu yang sedang berjalan yang terus mengukur dan mewartakan tanah NCR.
Majlis itu mengiktiraf pemilik tanah daripada empat kawasan utama untuk penyerahan hak milik di bawah Seksyen 13 dan 18 Kanun Tanah Sarawak, Kampung Entingan, Kampung Nangka, Kampung Mang di N.16 Muara Tuang dan Kampung Sri Tajo di N.15 Asajaya.
Sebanyak 173 surat hak milik tanah telah dianugerahkan, meliputi kira-kira 452.33 hektar (1,116.33 ekar) tanah.
Sebagai tambahan kepada hak milik tanah, cek pampasan telah diedarkan untuk dua projek serantau utama.
Skim Pembesaran Kampung (SPK) Beliong, yang dibangunkan untuk menangani kesesakan di kampung setempat, menyaksikan cek pampasan berjumlah RM2.74 juta diberikan kepada 21 penerima.
Sementara itu, Projek Pengukuhan Rangkaian Kuching 275KV, pembangunan infrastruktur penting, menyediakan pampasan RM16.5 juta kepada 143 penerima.
Majlis itu menandakan satu peristiwa penting dalam pembangunan dan kebajikan masyarakat Bahagian Samarahan, mengukuhkan lagi komitmen kerajaan untuk menyokong pertumbuhan wilayah dan memperbaiki keadaan hidup penduduknya.
Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Datu Abdullah Julaihi dan Residen Kota Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang.