Pencapaian luar biasa ini menyerlahkan komitmen SCS ke arah kecemerlangan dan peningkatan kualiti penyampaian perkhidmatan.
Antara pasukan yang berjaya meraih anugerah tersebut adalah TECHSKAP dari Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Lands Tahai Q dari Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Limbang, IPOK dari Pejabat Residen Mukah dan EAGLE dari Majlis Perbandaran Sibu.
Delegasi SCS yang diketuai oleh Pengarah Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU), Superi Awang Said telah menunjukkan prestasi cemerlang dengan semangat berpasukan yang tinggi.
Kejayaan mereka mencerminkan inisiatif pasukan dan jabatan dalam memastikan kecekapan serta keberkesanan bagi memastikan rakyat mendapat perkhidmatan yang bertaraf dunia.
Superi semasa ditemubual menyatakan perasaan bangga beliau terhadap penyertaan setiap kumpulan yang mewakili Sarawak pada konvensyen kali ini.
Beliau berkata, kejayaan empat pasukan ini bukan sahaja mengekalkan prestasi cemerlang pasukan ICC Sarawak pada setiap edisi ICQCC, malahan ia memberi gambaran jelas bahawa budaya inovasi dan kreativiti yang selama ini diterapkan dalam SCS melalui Sarawak Civil Service Innovation Convention Awards (SCSICA) berjaya mempersiapkan setiap pasukan ICC Sarawak untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
Untuk rekod, ICQCC 2024 adalah acara yang sangat kompetitif dengan penyertaan daripada 594 pasukan yang mewakili 15 negara.
Konvensyen ini adalah platform global bagi pasukan untuk memperagakan inisiatif kawalan kualiti dan idea inovatif mereka.
Kepelbagaian projek tersebut memaparkan penyelesaian yang kreatif dan inovatif dalam mengharungi cabaran era globalisasi masa kini.
Prestasi cemerlang pasukan dari Sarawak adalah bukti usaha memupuk budaya kecemerlangan dan peningkatan berterusan.
Sejak sekian lama, Konvensyen ICQCC menjadi acara berprestij dalam bidang kawalan kualiti, memberikan peluang kepada pengamal inovasi untuk berkongsi pengetahuan, pengalaman dan meraikan pencapaian dalam peningkatan kualiti. -EDISI UKAS