News

 

Perkukuh transformasi perkhidmatan awam di Sarawak

Posted on 05 Nov 2024
Source of News: Suara Sarawak



KUCHING: Penyertaan Sarawak dalam Konvensyen Antarabangsa mengenai Kawalan Kualiti (ICQCC) tidak sekadar membuka peluang untuk bertukar pandangan dengan pakar antarabangsa, tetapi juga memperkukuh usaha ke arah transformasi dan inovasi dalam perkhidmatan awam negeri ini.

 

Ketua Jawatankuasa Delegasi ICQCC ke Sri Langka dan Jepun, Superi Awang Said berharap rombongan itu membawa pulang ilmu serta inspirasi yang berharga untuk diterapkan dalam mempertingkat kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Delegasi yang turut serta ialah tiga kumpulan yang pernah memenangi anugerah semasa program ICQCC 2022 iaitu, Sirius Prime Majlis Bandaraya Miri, Sassoku Tech dan Innotech Q9 Jabatan Tanah dan Survei, Bahagian Kuching dan Bahagian Bintulu yang masing-masing telah memenangi Anugerah Emas konvensyen itu.

“ICQCC yang bermula 11 hingga 14 November merupakan acara tahunan yang mengumpul pengamal inovasi dari seluruh dunia untuk bersaing dan berkongsi idea, pengalaman serta kepakaran dalam usaha meningkatkan produktiviti.

“Sebanyak empat Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) pemenang Anugerah Inovasi SCSICA 2023 akan mewakili Sarawak dalam ICQCC kali ini.

Mereka ialah Kumpulan Lands Tahai Q, Jabatan Tanah dan Survei, Bahagian Limbang, Eagle, Majlis Perbandaran Sibu, Ipok, Pejabat Residen Mukah dan Kumpulan Techskap, Lembaga Kemajuan Bintulu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sementara itu ujar beliau, lawatan penanda aras inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak ke Jepun pula akan berlangsung pada 1 hingga 6 Disember, disertai 19 orang pegawai sebagai penghargaan atas dedikasi dan usaha gigih kumpulan KIK semasa program ICQCC 2022 di Jakarta, Indonesia.

Katanya, lawatan bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan inovasi dan peningkatan kualiti penyampaian sektor awam melalui bengkel, simulasi, serta latihan praktikal yang akan dikendalikan oleh pakar dari Jepun.



image Polls
image Announcement