News

 

Tapak untuk simpan karbon perlu dikenal pasti

Posted on 30 Oct 2024
Source of News: Suara Sarawak


Abang Johari semasa sesi menurunkan tandatangan digital untuk Ulang Tahun Ke-20 Buku Lembaga Jurukur Tanah Sarawak di Kuching, malam tadi. - Gambar UKAS

KUCHING: Terdapat keperluan mendesak untuk mengenal pasti kawasan sesuai dalam pelantar benua Sarawak khususnya bekas telaga minyak yang boleh dijadikan tapak penyimpanan karbon, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau dalam laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), menekankan pentingnya untuk menjalankan kajian lautan bagi mengenal pasti tapak berpotensi bagi penyimpanan karbon serta sumber-sumber lain yang bernilai.

“Untuk menguruskan penyimpanan karbon dengan berkesan kita mesti meninjau dasar laut kita dengan tepat dan mengenal pasti lokasi khusus yang memerlukan teknologi terkini.

“Dalam hal ini, saya telah meminta Jabatan Tanah dan Survei (JTS) untuk bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia.

“Kita telah memperuntukkan RM5 juta kepada universiti untuk penyelidikan dan melatih juruukur yang kompeten dalam kajian dasar laut," katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-20 Lembaga Juruukur Tanah Sarawak di sini, malam tadi.

Abang Johari berkata, kepakaran yang dibangunkan melalui inisiatif ini dijangka akan memainkan peranan penting dalam projek kelestarian alam sekitar Sarawak.

Menurutnya, Sarawak bertuah kerana telah mengenal pasti kawasan yang memenuhi kriteria untuk penyimpanan karbon yang berkesan.

Mengenai pertanian, Abang Johari menekankan perlunya perubahan dasar terutama berkaitan dengan kelapa sawit.

Katanya, banyak sisa yang boleh dijadikan aktiviti ekonomi, termasuk pengeluaran baja dan pelet kayu, yang boleh menjadi sumber biojisim untuk menghasilkan tenaga.

Justeru, tambahnya sebanyak RM5 juta telah diperuntukkan untuk penyelidikan bersama Ta Ann Holdings Berhad dengan tambahan RM5 juta khusus untuk Swinburne University of Technology Kampus Sarawak.

Pada majlis sama, Premier mengumumkan kelulusan sebidang tanah untuk Lembaga Jurukur Tanah Sarawak sempena ulang tahun mereka yang ke-20.

Beliau juga merasmikan Sistem e-LSBS untuk lembaga tersebut dan menandatangani Buku Ulang Tahun Ke-20, ‘A Journey Down Memory Lane’.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Datu Abdullah Julaihi, Pengerusi Lembaga Jurukur Tanah Sarawak Awang Zamhari Awang Mahmood, Presiden Persatuan Jurukur Tanah Berlesen Sarawak (ALCS) Datu Sudarsono Osman, Pengurus Besar Lembaga Pembangunan dan Pemuliharaan Tanah (LCDA) Datu Zaidi Mahdi serta tetamu kenamaan yang lain.



image Polls
image Announcement