News

 

S’wak sumbang RM5 juta untuk pembangunan dan penyelidikan Jabatan Tanah dan Survei-UTM

Posted on 23 Oct 2024
Source of News: Suara Sarawak


KUCHING: Kerajaan Sarawak menyumbang sebanyak RM5 juta kepada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi tujuan pembangunan dan penyelidikan (R&D) bawah program kolaborasi Makmal Satelit Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak-UTM.

R&D itu berkaitan dengan ekonomi hijau, perlombongan, geospatial, ‘Remote Sensing’, Marin Kadestra, perubahan cuaca, perancangan bandar dan wilayah, pengurusan bencana, teknologi membran dan beberapa lagi sektor berkaitan.

“Kesemua kajian ini khusus untuk Sarawak dan dijangka memberikan input yang terbaik dalam merealisasikan Strategi Pembangunan Pasca-Covid (PCDS) 2030,” kata JTS dalam kenyataan.

Penyerahan cek replika berjumlah RM5 juta itu disempurnakan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak Datu Abdullah Julaihi kepada Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ahmad Fauzi Ismail dengan disaksikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah yang merupakan Canselor UTM
sempena Majlis Santapan Diraja di Marriot Hotel, Putrajaya.

Majlis turut dihadiri Pro Canselor UTM Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi,
Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, Naib Canselor UTM Prof. Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail, Pengerusi Lembaga UTM Tan Sri Azman Mokhtar serta Pengarah Tanah dan Survei Sarawak Awang Zamhari Awang Mahmood.

Majlis tersebut turut meraikan sebanyak 39 agensi penyumbang daripada kerajaan negeri, lembaga profesional, industri, persatuan alumni, institusi perbankan dan beberapa perbadanan komersial UTM yang menyumbang sepanjang 2024.

Sumbangan terkumpul melalui platform itu mencatatkan kutipan sebanyak RM6.4 juta.



image Polls
image Announcement