KERAJAAN SARAWAK SERAH DANA PENYELIDIKAN RM5 JUTA KEPADA UTM SEMASA MAJLIS SANTAPAN DIRAJA ( ROYAL GALA DINNER 2024 )
Posted on 21 Oct 2024
Source of News: UNIT PERHUBUNGAN AWAM JABATAN TANAH DAN SURVEI SARAWAK
Gambar dari sebelah kanan: Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini bin Ujang, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr Ahmad Fauzi bin Ismail, Naib Canselor UTM, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor, Pro Canselor UTM, Datu Haji Abdullah bin Julaihi, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak dan Tan Sri Azman Mokhtar, Pengerusi Lembaga UTM.
Pada Sabtu 19 Oktober 2024, Marriot Hotel Putra Jaya. Satu Majlis Santapan DiRaja ( Royal Gala Dinner 2024 ) bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah yang merupakan Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah dianjurkan bagi menghargai penyumbang dana R&D kepada UTM. Majlis ini juga turut dihadiri oleh Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor, Pro Canselor UTM, Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini bin Ujang, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr Ahmad Fauzi bin Ismail, Naib Canselor UTM, Tan Sri Azman Mokhtar, Pengerusi Lembaga UTM serta Ahli Lembaga Pengarah UTM. Manakala Sarawak telah diwakili oleh Datu Haji Abdullah bin Julaihi, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak serta Encik Awang Zamhari bin Awang Mahmood Pengarah Tanah dan Survei Sarawak.
Majlis tersebut meraikan sebanyak 39 agensi penyumbang daripada kerajaan negeri, lembaga profesional, industri, persatuan alumni, institusi perbankan dan beberapa perbadanan komersial UTM yang telah menyumbang sepanjang tahun 2024. Sumbangan terkumpul melalui platform ini telah mencatatkan kutipan sebanyak RM 6.4 juta.
Kerajaan Sarawak telah diraikan atas sumbangan RM5 juta bagi tujuan pembangunan dan penyelidikan (R&D) yang berkaitan dengan ekonomi hijau, perlombongan, geospatial, Remote Sensing, Marin Kadestra, perubahan cuaca, perancangan bandar dan wilayah, pengurusan bencana, teknologi membran dan beberapa lagi sektor berkaitan dengan program kolaborasi Makmal Satelit JTS-UTM. Kesemua kajian ini adalah khusus untuk Sarawak dan dijangka akan memberikan input yang terbaik dalam merealisasikan PCDS 2030.
Dalam ucapan alu-aluan Prof. Datuk Dr Ahmad Fauzi bin Ismail, Naib Canselor UTM telah melahirkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada Kerajaan Sarawak atas sumbangan tersebut dan menzahirkan pujian kepada Kerajaan Sarawak yang sentiasa berada di hadapan dalam memanfaatkan teknologi terkini bagi pembangunan fizikal dan ekonomi yang mampan.
Penyerahan cek replika yang berjumlah RM 5 juta ini telah diserahkan oleh Datu Haji Abdullah bin Julaihi kepada Prof. Datuk Ahmad Fauzi bin Ismail dengan disaksikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah