News

 

RM75.7 juta dibayar kepada 233 pemilik tanah dari Kampung Pulo Ulu bagi projek Pembangunan Darul Hana

Posted on 15 Oct 2024
Source of News: Suara Sarawak


KUCHING: Dana sebanyak RM75.7 juta dibelanjakan untuk membayar pampasan kepada 233 pemilik tanah dari Kampung Pulo Ulu bagi projek Pembangunan Darul Hana.

Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata jumlah tersebut diagihkan kepada 124 orang bagi Tanah Berhakmilik dan Tanah Hak Adat Bumiputera (seorang).

Menurutnya lagi, Kerajaan Sarawak juga telah mengeluarkan surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri dan mengenakan syarat khas bagi kegunaan kediaman untuk pemilik-pemilik rumah di Darul Hana ini.
 
“Pada masa sama, kita juga menyerahkan 60 unit kunci rumah kepada penerima dari Kampung Pulo Ulu.

“Ini adalah bukti jelas bahawa Kerajaan Negeri sangat prihatin dalam memastikan penduduk kampung yang terlibat menerima pampasan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek Pampasan, Surat Hak Milik Tanah Dan Kunci Rumah Darul Hana Bagi Ketua Isi Rumah Kampung Pulo Ulu di Wisma SABATI di sini, hari ini.

Ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis, Tengah menambah bahawa jumlah rumah bagi projek Darul Hana yang sudah siap setakat ini adalah sebanyak 564 buah, manakala 94 buah masih dalam pembinaan.

“Kita telah agihkan 318 buah rumah sebelumnya, dan seramai 60 unit berjaya diserahkan pada hari ini,” jelasnya.

“Bagi keluarga tambahan (extended family) yang bakal dipindahkan ke perumahan Sungai Bedaun pula, sebanyak 209 buah rumah sudah siap dibina dan 115 buah berjaya diserahkan,” ringkasnya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti), Datuk Abdul Rahman Junaidi, dalam ucapannya mendedahkan seramai 233 orang daripada 347 penerima menerima cek pampasan.

Seramai 30 orang menerima cek pampasan dan surat hak milik tanah, 84 orang menerima surat hak milik tanah sahaja dan 60 ketua isi rumah menerima kunci rumah.

“Perpindahan 60 penduduk ini merupakan unit terakhir bagi fasa pertama.

“Inilah inisiatif kerajaan dalam menyediakan penempatan baharu kepada penduduk di kawasan perkampungan Seberang Hilir, dengan pelbagai kelengkapan dari sudut sosial dan ekonomi turut disediakan,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Damai itu menambah, beliau dimaklumkan bahawa penduduk dari kampung seperti Boyan, Bintawa, Gersik dan lain-lain turut bertanya tentang giliran mereka untuk berpindah.
Pertanyaan ini susulan mereka sudah melihat keadaan penduduk fasa awal yang sudah berpindah, hidup dalam suasana perumahan yang baik dan sistematik.

“Buat masa ini, kita sudah lihat tanah di sekitar kawasan perumahan Darul Hana diluaskan, ia adalah untuk fasa kedua.

“Besar harapan agar proses pembinaan ini dapat dipercepatkan sepanjang Rancangan Malaysia ke-13 (RM-13) yang bermula tahun hadapan.

“Kita mahu pastikan semua penduduk kampung dapat menikmati kemudahan asas yang disediakan dalam sistem perumahan Darul Hana demi kesejahteraan hidup keluarga dan generasi akan datang,” katanya.



image Polls
image Announcement