News

 

Ketua keluarga tambahan ditawar beli rumah projek Sungai Bedaun

Posted on 15 Oct 2024
Source of News: Utusan Sarawak

PETRA JAYA: Ketua Isi Rumah (KIR) yang memiliki Ketua Keluarga Tambahan (KKT) serta layak akan ditawarkan peluang membeli rumah di kawasan penempatan Sungai Bedaun, selari dengan dasar Projek Pembaharuan Bandar. 

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, projek tersebut melibatkan pembinaan sebanyak 426 unit rumah untuk memenuhi keperluan KKT yang telah berpindah ke Darul Hana.

“Kerajaan menyedari kepentingan untuk memberikan peluang pemilikan rumah kepada KKT, iaitu keluarga tambahan yang sebelum ini tinggal bersama atau menumpang dengan KIR di rumah kampung masing-masing.

“Setakat ini, 209 unit rumah telah siap di bawah Pakej I, dan daripada jumlah tersebut, 115 unit telah diagihkan kepada KKT yang layak. Baki 94 unit sedang melalui proses penilaian bagi tujuan tawaran pembelian kepada mereka yang memenuhi syarat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis penyerahan cek pampasan, surat hak milik tanah dan kunci rumah Darul Hana kepada Ketua Isi Rumah Kampung Pulo Ulu di Wisma SABATI, di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau turut menegaskan bahawa kerajaan negeri turut menitikberatkan penyediaan pelbagai kemudahan sosial di kawasan perumahan Darul Hana selain daripada pembangunan perumahan.

“Ini termasuk pembinaan masjid, surau, sekolah, padang permainan, premis perniagaan yang tersusun, serta persekitaran lebih sihat dan selamat, lengkap dengan pelbagai kemudahan awam moden,” jelasnya.

Bercakap mengenai Projek Pembangunan Darul Hana, yang merupakan inisiatif perintis kepada Projek Pembaharuan Bandar, beliau berkata pelbagai kemudahan telah dibangunkan untuk kesejahteraan penduduk, termasuk pembinaan Masjid Darul Hana dan Surau Darul Hijrah untuk keperluan ibadah serta aktiviti keagamaan.

Antara kemudahan sosial lain disediakan akan disediakan termasuk padang bola sepak yang telah siap, pembinaan Sekolah Kebangsaan (SK) Pulo Baru, projek terowong bawah tanah (underpass), Muzium Warisan Melayu dan pusat kejiranan Darul Hana.

“Semua pembangunan di Darul Hana ini hanya dapat direalisasikan dengan pengorbanan serta kerjasama daripada semua pihak, terutama penduduk kampung dan pemilik tanah. Tanpa sokongan mereka, projek sebesar ini tidak akan berjaya dilaksanakan,” tambahnya.

Oleh SHAHRUL QAIZAT



image Polls
image Announcement