News

 

263 Pemilik Tanah Kampung Pulo Ulu Terima Pampasan RM75.7 Juta

Posted on 14 Oct 2024
Source of News: UKAS Sarawak
KUCHING: Seramai 263 pemilik tanah di Kampung Pulo Ulu kini mengukir senyuman gembira apabila menerima cek pampasan berjumlah RM75.7 juta pada Isnin.

Penyerahan pampasan tersebut melibatkan 124 Lot Tanah Berhakmilik dan 1 Lot Tanah Hak Adat Bumiputera dan disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dalam Majlis Penyerahan Cek Pampasan, Surat Hak Milik Tanah dan Kunci Rumah Darul Hana bagi Ketua Isi Rumah Kampung Pulo Ulu di Wisma SABATI, di sini.

Manakala pengagihan kunci rumah pula, seramai 60 orang Ketua Isi Rumah (KIR) dari Kampung Pulo Ulu telah diserahkan kunci rumah bagi projek perumahan Darul Hana.

Program penyerahan cek pampasan itu dianjurkan Lembaga Pembangunan Dan Lindungan Tanah (LCDA) dengan kerjasama Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR), Jabatan Tanah Dan Survei (JTS) serta Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC).

Sementara itu bercakap dalam sidang media selepas majlis penyerahan tersebut, Datuk Amar Awang Tengah memberitahu, sebanyak 564 unit rumah telah siap dibina setakat ini di Darul Hana untuk KIR dari tiga kampung dan lot-lot di sekitar Jalan Tun Datuk Patinggi Abang Haji Muhammad Salahuddin dan Jalan Demak.

“Ada lagi 94 unit rumah sedang dalam pelaksanaan dan kita telah agihkan sebanyak 318 buah rumah kepada yang telah berjaya menerima tawaran dan hari ini kita telah menyerahkan lagi 60 buah rumah kepada ketua isi rumah dari Kampung Pulo Ulu

"94 rumah yang tinggal dijangka siap pada 2026 manakala 1,545 unit telah dirancang dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) dan 418 unit dalam RMKe-14, menjadikan keseluruhan unit sebanyak 2,621 rumah," katanya.

Sementara itu, Datuk Amar Awang Tengah memberitahu, daripada 564 rumah yang telah siap dibina, seramai 557 KIR dari tiga kampung termasuk Kampung Pulo Ulu dan lot-lot di sekitar Jalan Tun Datuk Patinggi Abang Haji Muhammad Salahuddin dan Jalan Demak telah ditawarkan rumah baharu, manakala baki tujuh unit rumah masih dalam proses akhir dokumentasi untuk ditawarkan rumah.

Turut hadir, Timbalan Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Datu Abdullah Julaihi, Pengurus Besar LCDA Datu Zaidi Mahdi dan Pengarah JTS Awang Zamhari Awang Mahmood. -EDISI UKAS


image Polls
image Announcement