News

 

78 Kontinjen Sertai Pembarisan & Rapat Raksasa Sempena Hari Kelahiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak

Posted on 14 Oct 2024
Source of News: UKAS Sarawak
KUCHING: Bersempena dengan hari kelahiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Istiadat Perbarisan Dan Rapat Raksasa di Padang Merdeka Kuching menyaksikan penyertaan 78 kontinjen, bertepatan dengan usia beliau yang mencecah 78 tahun.

Lebih 3,000 peserta daripada kementerian, jabatan, agensi, badan berkanun, persatuan, pertubuhan, swasta mengambil bahagian dalam acara ini yang berlangsung seawal jam 7 pagi.

Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi melakukan lintas hormat menggunakan kenderaan khas, diiringi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari.

Majlis juga menampilkan ucapan hari lahir dan harapan terhadap kepimpinan beliau, serta persembahan kebudayaan dan tarian.

Dalam kemuncak majlis, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi bersama isteri, Toh Puan Fauziah, memotong kek sambil disertai laungan 'Dirgahayu' oleh para kontinjen.

Tayangan video bertajuk 'Aspirasi Rakyat' turut dipertontonkan kepada Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi yang memaparkan ucapan hari lahir dan harapan terhadap pemerintahannya selaku Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Acara itu disajikan persembahan-persembahan kebudayaan dan tarian termasuk nyanyian daripada penyanyi terkenal tanah air kelahiran Sarawak, Bob Yusof dan Dayang Nurfaizah.

Dalam pada itu, penutup majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada bebeeapa kontinjen terbaik yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Gerald Rentap Jabu dan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni.

Juara keseluruhan telah berjaya dirangkul oleh kontinjen Jabatan Tanah Dan Survei Sarawak membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000.

Selain itu untuk setiap kategori pula, Jabatan Tanah Survei sekali lagi berjaya merangkul johan untuk kategori Kontinjen Penguatkuasa diikuti Kontinjen Persatuan dan Etnik yang berjaya dirangkul oleh Amanat Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak.

Selain itu, Kategori Kontinjen Badan Bukan Kerajaan/Swasta dimenangi oleh Lembaga Kemajuan Bintulu diikuti kategori Kontinjen Kementerian yang dirangkul oleh Kementerian Sumber Asli Dan Pembangunan Bandar manakala kategori Kontinjen Pejabat Pentadbiran dimenangi oleh Pejabat Pentadbiran Bahagian Bintulu.

Kesemua pemenang membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM3,000 beserta piala.

Hadir sama ialah Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak selaku Menteri Bertanggungjawab Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, barisan Menteri-Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri-Menteri Kabinet Sarawak serta dif-dif kenamaan yang lain.


image Polls
image Announcement