News

 

Seramai 574 penerima dari Sibu terima surat hak milik tanah

Posted on 01 Oct 2024
Source of News: Utusan Borneo
IBU: Seramai 574 penerima surat hak milik tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (KTN) dari kawasan Sibu menerima surat hak milik tanah masing-masing pada Majlis Warta Komunal Rizab Seksyen 6 KTN dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 KTN di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di sini hari ini.

Penerima adalah dari kawasan Sebindang Oya, Igu Tamin, Pasai Siong dan Kawasan B: Tebalang/ Batang Penyudah dan Batang Oya melibatkan keluasan 2,055 hektar dengan 768 surat hak milik tanah dikeluarkan.

Majlis penyerahan surat hak milik tanah dan warta disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Berucap pada majlis tersebut, Awang Tengah berkata kerajaan meneruskan Program Pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) Inisiatif Baharu bagi menjamin hak rakyat terhadap tanah NCR.

Menurutnya, sejak 2010 hampir 1.2 juta hektar atau hampir 3 juta ekar tanah berjaya disukat manakala yang diwarta lebih 900,000 hektar atau 2.3 juta ekar.

Beliau berkata, penyukatan tanah NCR ini adalah percuma asalkan penuntut tanah dapat membuktikan ia sahih mengikut perundangan.

“Ini membuktikan kita benar-benar komited membantu, supaya kita mendapat jaminan terhadap hak tanah kita dan mengelak daripada berlakunya pencerobohan.

“Adapun sebahagian digunakan untuk pembangunan, kita akan ambil alih untuk kegunaan seperti jalan raya, menara telekomunikasi, sekolah dan sebagainya.

“Jadi, kalau tanah berkenaan benar-benar milik kita apatah lagi telah disukat sama ada di bawah Seksyen 6 atau 18, ataupun belum ada pengesahan tetapi kita ada bukti itu adalah tanah adat kita disahkan oleh Pejabat Tanah, kita akan bayar pampasan sejajar dengan Kanun Tanah Negeri Bab 81 dan Deksyen 13 Kanun Perlembagaan Persekutuan” katanya.

Beliau turut mengingatkan pegawai-pegawai terutama Jabatan Tanah dan Survei (JTS) supaya tidak menjalankan kerja penyukatan di kawasan yang mempunyai isu di mahkamah, sebaliknya memberi tumpuan kepada kawasan lain yang tidak mempunyai pertikaian.

Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar itu berkata melainkan pemilik tanah berkenaan menarik balik isu di mahkamah dan membuat permohonan untuk pengukuran, barulah kerajaan menjalankan kerja-kerja pengukuran.

Pada majlis itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan itu menyerahkan Warta Komunal Rizab Seksyen 6 KTN kepada 20 penerima bagi kawasan Sungai Pasai Besai, Sibu untuk kawasan DUN Nangka di bawah Parlimen Sibu berkeluasan 413 hektar.

Awang Tengah turut menyampaikan warta kepada enam penerima bagi kawasan Batang Igan Matu, Hulu Sungai Sebalau dan Sungai Sebedil yang berkeluasan 248 hektar.

Turut berlangsung ialah penyerahan Hak Milik Tanah Seksyen 13 bagi projek Pembangunan Perumahan, Komersial dan industri yang melibatkan pecah bahagi tanah kepada tiba syarikat pemaju hartanah iaitu Zuntai Development Sdn Bhd, Bodco Engineering & Construction Sdn Bhd dan Takecel Sdn Bhd.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin Christopher Gira Sambang, Pemangku Pengarah Tanah dan Survei Sarawak Ramzi Abdillah, Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak (SDO) Jasni Jubli, Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Sibu Mohamad Muazziz Othman, Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Mukah Dahari Anis dan yang lain.


image Polls
image Announcement