News

 

Penyukatan tanah NCR percuma, penuntut mesti buktikan sahih

Posted on 01 Oct 2024
Source of News: Suara Sarawak
SIBU: Sarawak akan terus melaksanakan Program Pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) Inisiatif Baharu selagi diperlukan.

Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memberi jaminan inisiatif itu akan menjamin hak rakyat terhadap tanah NCR ini.

“Asalkan penuntut tanah NCR dapat membuktikan ia sahih mengikut perundangan.

“Penyukatan tanah NCR ini tidak mengenakan apa-apa caj bayaran pun, semuanya percuma.

“Kerajaan akan mengeluarkan surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 KTN, yang tidak dikenakan cukai tanah, dikecualikan premium, tempoh pegangannya kekal atau selagi ada bulan dan bintang, ia tetap jadi hak milik kita,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (KTN) dan Warta Komunal Rizab Seksyen 6 KTN Bagi Bahagian Sibu di sini, semalam.

Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II memaklumkan, ini komitmen serta janji kerajaan dan semua itu untuk kepentingan rakyat.

Jelasnya lagi, sejak inisiatif baharu itu diperkenalkan pada 2010, proses pengukuran tanah NCR dipercepatkan, menyediakan pemilik tanah dokumentasi rasmi, sempadan yang jelas, dan perlindungan terhadap pencerobohan tanah.

“Ini adalah bukti dari 2010 hingga 31 Ogos 2024, Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak berjaya menjalankan tinjauan perimeter untuk kira-kira 1,155,022 hektar di seluruh negeri.

“Daripada jumlah itu, 910,183 hektar telah diwartakan. Ini menyerlahkan kawasan luas yang diliputi di bawah NCR Program Ukur Tanah,” kata Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan itu lagi.

Awang Tengah memaklumkan, Program Pengukuran Tanah NCR dijalankan dalam dua peringkat iaitu pertama melibatkan pengukuran perimeter dan pewartaan di bawah Seksyen 6 KTN sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian).

Manakala peringkat kedua, melibatkan pengukuran lot individu dan pengeluaran hak milik tanah di bawah Seksyen 18 KTN.

Pada majlis tersebut, sebanyak 768 surat hak milik Tanah Seksyen 18 KTN diserahkan kepada 574 penerima.



image Polls
image Announcement