News

 

Sistem Geospatial pastikan pembangunan bandar, pedalaman seimbang

Posted on 30 Sep 2024
Source of News: Suara Sarawak

KUCHING: Program Minggu Informasi Geo 2024 mampu meningkatkan penambahbaikan perancangan pembangunan infrastruktur bandar dan luar bandar secara optimum.

Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ia adalah seiring dengan misi Sarawak untuk memastikan pertumbuhan pembangunan seimbang terhadap kedua-dua kawasan (bandar dan pedalaman).

“Jurang bandar-luar bandar memberi cabaran, namun ia menawarkan peluang terhadap teknologi geospatial untuk semua.

“Dalam usaha menambah baik perancangan dan infrastruktur bandar serta mengoptimumkan penggunaan tanah di kawasan luar bandar, sistem informasi geo membolehkan kita membuat keputusan tepat yang membawa kepada pembangunan mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan yang diwakili oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh pada majlis makan malam khas Persidangan Antarabangsa Bersama Minggu Geo Informasi 2024 di sebuah hotel di Kuching pada Khamis (26 September).

Awang Tengah berkata, tema persidangan tersebut juga dipilih seiring dengan misinya iaitu Inovasi Geospatial untuk pembangunan luar bandar dan kemampanan bandar.

Tegasnya, usaha itu juga sebagai langkah mewujudkan pembangunan dalam menangani cabaran yang dihadapi kedua-dua pusatbandar mahupun luar bandar.

“Strategi Pembangunan 2030 selepas Covid-19 menekankan prinsip kelestarian alam sekitar, daya tahan ekonomi, dan keterangkuman sosial.

“Jadi, teknologi geospatial ini adalah kunci untuk mencapai matlamat itu, sebagai alat pengurusan sumber dengan lebih bijak, mengurangkan kesan perubahan iklim, dan meningkatkan kualiti hidup semua rakyat Sarawak,” tegas beliau.

Tambahnya, inovasi geospatial bukan saja tentang inovasi teknologi namun turut melibatkan tentang pembangunan kesejahteraan manusia dan alam sekitar.

“Usaha inovasi geospatial bukan hanya tentang teknologi, ia adalah mengenai manusia.

“Ia adalah tentang usaha memastikan tiada siapa yang tertinggal di samping mewujudkan pembangunan saksama dan inklusif untuk semua.

“Kerjasama kita dalam membentuk masa depan ke arah pembangunan mampan bukan hanya untuk Sarawak, tapi di seluruh dunia,” ujarnya.

Geospatial merujuk kepada maklumat yang mengenal pasti, gambaran, atau penerangan kedudukan geografi, sempadan atau ciri-ciri penduduk serta semula jadi atau fitur yang dibina di atas permukaan dan bawah permukaan bumi.



image Polls
image Announcement