SIBU: Lencongan khas lalu lintas di kawasan projek naik taraf Jalan Oya, Bahagian Sibu (Fasa 1) sepanjang 1.4 kilometer akan dilakukan bermula pada 28 September dan dijangka tamat pada penghujung Disember 2024.
Jabatan Tanah dan Survei (JTS) menerusi satu kenyataan berkata, ini susulan cadangan naik taraf Jalan Oya, Bahagian Sibu (Fasa 1) yang sedang dijalankan mencapai tahap positif.
“Laluan baru yang dibina antara persimpangan Jalan Tunku Abdul Rahman dan Jalan Pahlawan bersedia untuk menampung lalu lintas sekali gus membenarkan fasa naik taraf seterusnya dilakukan di jalan tersebut.
“Bagi memudahkan kerja-kerja ini, lencongan lalu lintas akan dilaksanakan yang mana laluan sedia ada (warna biru) akan ditutup untuk kerja menaik taraf.
“Seterusnya, trafik akan diubah hala ke lorong yang baru dibina, seperti yang ditunjukkan oleh anak panah hijau.
“Manakala, garis putus-putus merah dalam rajah mewakili lokasi penghadang plastik untuk memisahkan trafik dengan selamat dari zon pembinaan,” kata kenyataan tersebut, hari ini.
Sehubungan itu, JTS menasihatkan pengguna jalan raya untuk mengikut arahan lalu lintas sementara dan peka dengan papan tanda demi keselamatan mereka.
Tambahnya, pihak JTS komited untuk menyiapkan projek itu mengikut jadual dengan gangguan minimum kepada orang ramai.