News

 

Sarawak usahakan biojisim jana tenaga boleh diperbaharui

Posted on 25 Sep 2024
Source of News: Utusan Sarawak


GIMIK...Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyempurnakan gimik perasmian Minggu Geoinformasi 2024 di Kuching, hari ini.

KUCHING: Sarawak kini menjadi perintis penanaman sejenis rumput yang boleh dijadikan biojisim bagi penjanaan tenaga boleh diperbaharui. 

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata bagi tujuan itu rumput hibrid tropika ditanam di kawasan seluas 320 hektar di Bintulu.

“Rumput ini boleh dituai dalam tempoh tiga bulan, dan hasilnya diproses menjadi biojisim yang berfungsi sebagai bahan asas untuk menjana tenaga. 

“Sarawak kini menjadi pelopor di rantau ini dalam penggunaan rumput sebagai sumber biojisim bagi tujuan itu.

“Inisiatif ini juga membantu Sarawak mengurangkan kebergantungan kepada arang batu serta menyumbang kepada usaha global dalam menangani perubahan iklim.

“Kita boleh tanam rumput, bukan sahaja untuk makanan ternakan, tetapi juga untuk menghasilkan elektrik. Ini merupakan satu teknologi baharu dan Sarawak adalah yang pertama di rantau ini melaksanakannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Minggu Geoinformasi 2024 di sini, hari ini. 

Selain inisiatif tenaga biojisim, Abang Johari turut menekankan kepentingan penggunaan teknologi moden dalam pentadbiran tanah bagi memastikan penggunaan tanah yang lebih optimum. 

Katanya, teknologi seperti data satelit dan aplikasi digital membolehkan kerajaan menguruskan tanah dengan lebih efisien, sekali gus memudahkan rakyat mendapatkan maklumat berhubung status pemilikan dan kualiti tanah mereka.

“Sarawak telah melabur dalam teknologi untuk memperkukuh pentadbiran tanah.

“Melalui melalui LASIS (LASIS Mobile App untuk menambah baik perkhidmatan berkaitan pentadbiran tanah), rakyat boleh mendapatkan maklumat mengenai status tanah mereka dengan cepat, termasuk sama ada ia melibatkan tanah adat (NCR) atau tidak,” katanya.

Beliau turut mencontohkan Estonia, yang menggunakan teknologi digital untuk menguruskan maklumat sejarah pemilikan tanah dari generasi ke generasi, sekali gus mengelakkan pertikaian. 

Sarawak, katanya, akan meneruskan langkah seumpama ini bagi memastikan penggunaan tanah yang lebih produktif dan menguntungkan.

Beliau turut menyatakan komitmen kerajaan Sarawak dalam menangani perubahan iklim, termasuk menggalakkan penanaman semula hutan terbiar bagi mewujudkan kawasan penyerap karbon. 

Oleh SHAHRUL QAIZAT



image Polls
image Announcement