News

 

Pulau Bruit tidak lagi terasing dengan siapnya Jambatan Batang Lassa dan Paloh: Abang Johari

Posted on 15 Sep 2024
Source of News: Utusan Borneo

Abang Johari (empat kiri) menunjukkan tanda bagus setelah melancarkan Pesta Pulau Bruit 2024 di Pusat Pertumbuhan Luar Bandar, Semop di Daro hari ini.

SIBU: Pulau Bruit tidak lagi terasing kerana akan dihubungkan dengan kawasan sekitar dengan siapnya Jambatan Batang Lassa dan Paloh.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia merupakan sebahagian usaha kerajaan untuk meningkatkan infrastruktur dan kesalinghubungan di kawasan itu.

"Pada tahun 2017, setelah menjadi Ketua Menteri, saya mengumumkan pembinaan Jambatan Batang Lassar dan Paloh.

"Supaya Pulau Bruit tidak lagi keseorangan, disambung dengan Daro terus ke Mukah, di sambung dengan Tanjung Manis terus ke Sibu dan Sarikei," ujarnya ketika berucap pada pelancaran Pesta Pulau Bruit 2024 di Pusat Pertumbuhan Luar Bandar, Semop di Daro hari ini.

Abang Johari berkata, dengan jumlah kos sebanyak RM1 bilion, jambatan-jambatan itu akan memenuhi visinya untuk menghubungkan Pulau Bruit ke Daro, Mukah dan Tanjung Manis ke Sibu dan Sarikei.

"Impian saya telah menjadi kenyataan," katanya sambil menekankan pembiayaan telah diluluskan dan projek sedang berjalan lancar.

Sementara itu, Abang Johari berkata, Pulau Bruit telah lama menghadapi cabaran bekalan air.

"Untuk menangani masalah ini, satu projek sedang dilaksanakan untuk menyediakan lima juta liter air sehari kepada penduduk pulau tersebut menjelang akhir tahun ini.

"Projek ini yang menelan belanja lebih RM60 juta, melibatkan pemasangan saluran paip air baharu ke Pulau Bruit," jelasnya.

Beliau berkata, di bawah inisiatif pembangunan serantau Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) telah ditubuhkan yang bertujuan membangunkan kawasan Delta Rajang, termasuk Mukah, Pulau Bruit, Daro, Tanjung Manis, dan Belawai.

"Penambahbaikan infrastruktur di Pulau Bruit adalah fokus utama," katanya.

Semasa acara tersebut, Abang Johari turut mengumumkan peruntukan RM5.6 juta untuk pembaikan projek perumahan nelayan di kawasan tersebut, sebuah pusat pertanian baharu, dan medan selera.

Beliau juga menekankan rancangan untuk skim perumahan baharu dengan 56 lot diluluskan untuk pembangunan di Pulau Bruit dan jumlah lot akan ditambah pada masa akan datang berdasarkan permintaan penduduk setempat.

Beliau berkata, rumah-rumah terbabit adalah serupa dengan rumah di Kampung Datu dan Kemunyang di Sibu serta Sungai Bedaun di Kuching.

"Kerajaan Sarawak akan menanggung kos penyediaan tapak dan pembinaan jalan, termasuk deposit RM10,000," jelasnya.

Beliau juga berkongsi visi ekonomi kerajaan Sarawak berhubung pelan pengeluaran padi lima musim selama 24 bulan di Gedong.

"Ini termasuk pengenalan benih hibrid dari Vietnam yang dapat menghasilkan lapan tan sehektar (padi) dalam masa hanya tiga bulan," katanya sambil menambah, inisiatif itu dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia.

Memandangkan penanaman padi memerlukan sistem saliran yang baik, Abang Johari berkata kerajaan Sarawak juga memberi tumpuan kepada pengurusan sumber air menggunakan teknologi digital, memastikan bekalan air yang efisien di seluruh Sarawak.

Beliau berkata untuk belanjawan Sarawak yang akan datang, beliau akan memperuntukkan kira-kira RM1 bilion untuk pelbagai projek infrastruktur saliran dan pengairan.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol, Ahli Parlimen Tanjung Manis Yusuf Abdul Wahab serta yang lain.



image Polls
image Announcement