Sarawak Sasar Pingat Gangsa Dalam Acara Gimnastik Artistik
Posted on 19 Aug 2024
Source of News: UKAS Sarawak
SERIAN: Pasukan Sarawak menyasarkan merangkul pingat gangsa dalam acara gimnastik artistik Sukan Malaysia (SUKMA) XXI yang bakal bermula pada 21 Ogos ini.
Ahli Parlimen Serian Dato Sri Richard Riot Jaem berkata beliau yakin bahawa pasukan Sarawak mempunyai bakat dan semangat berjuang untuk mencapai pingat gangsa dalam acara itu.
Beliau telah hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Karnival SUKMA XXI Bahagian Serian di sini pada Sabtu.
Pengurus Pasukan Gimnastik Artistik Sarawak Jacqueline George Paou menambah, antara pasukan yang menjadi pilihan adalah pasukan wanita dan beliau akan berusaha bagi mencapai sasaran itu.
Difahamkan, latihan di podium akan bermula pada 20 Ogos ini iaitu sehari sebelum hari pertandingan bermula pada 21 hingga 24 Ogos.
Karnival SUKMA XXI Bahagian Serian yang diadakan di perkarangan Pusat Persidangan Serian telah berjaya menarik 65 gerai yang menjual pelbagai makanan dan minuman.
Turut hadir ialah Timbalan Residen Bahagian Serian Abdul Khalid Manap, Pegawai Daerah Serian Inting Nyami dan Setiausaha Majlis Daerah Serian Tay Guan Huat. -EDISI UKAS