News

 

Kabah dan Nanga Dap perlu ada klinik baharu

Posted on 18 Jul 2024
Source of News: Suara Sarawak

Anyi (duduk tiga kanan), Muazziz (duduk dua kanan), Jackline (duduk kanan) dan pegawai lain bersama penerima cek pampasan berjumlah RM1.665 juta bagi Projek Jalan Nanga Kabah-SK Beguang-Sungai Song, Kapit (Fasa 1) Sektor Sibu di Rumah Asay Abol, Nanga Kabah, Jalan Nibong-Tada di Kanowit semalam.

KANOWIT: Sebuah klinik baharu dicadangkan dibina di Kabah dan Nanga Dap bagi manfaat penduduk di kawasan tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana, berkata beliau akan mencadangkan perkara tersebut kepada jawatankuasa Agensi Pembangunan Wilayah Tengah Rajang (MiRRDA).

“Saya akan mengusulkan kemudahan ini kepada jawatankuasa MiRRDA untuk dibincangkan.

“Diharap klinik ini dapat menjadi keutamaan bagi kawasan DUN Ngemah ini,” katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek Pampasan Tanah Bagi Projek Jalan Nanga Kabah-SK Beguang-Sungai Song, Kapit (Fasa 1) Sektor Sibu di Rumah Asay Abol, Nanga Kabah, Jalan Nibong-Tada di sini semalam.

Anyi berkata kemudahan ini memerlukan kos yang sungguh besar, dan perbincangan telah diadakan dengan jawatankuasa MiRRDA sebelum ia dilaksanakan.

Menurut beliau, kawasan Kabah dan Nanga Dap di seberang Sungai Batang Rajang amat memerlukan sebuah klinik kerana kawasannya sungguh besar dengan ramai penduduk.

“Kawasan Kabah dan Nanga Dap ini semuanya lengkap dari segi kemudahan seperti air, elektrik, sekolah dan sebagainya, cuma klinik sahaja tiada,” ujarnya.

Beliau juga memberitahu bahawa kawasan tersebut mendahului kawasan lain dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ngemah dari segi pembangunan.

“Penduduk di kawasan ini tiada isu, semuanya lancar dengan penduduknya sentiasa bekerjasama dalam apa jua jenis pembangunan yang hendak dilaksanakan oleh kerajaan, seperti pembinaan projek jalan ini,” ujarnya.

Menyentuh tentang projek jalan sepanjang kira-kira tujuh kilometer tersebut, Anyi berkata ia dijangka memberi impak positif kepada penduduk sekitarnya.

“Jika ada jalan raya, sememangnya kemudahan lain (projek pembangunan) akan menyusul dan memberi impak positif kepada penduduk di kawasan berkenaan.

“Apabila jalan sudah disediakan, tanah-tanah di sekitarnya akan ‘hidup’ untuk digunakan penduduk bagi menjalankan aktiviti lain seperti pertanian dan sebagainya,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut, seramai 69 pemilik tanah telah menerima cek pampasan berjumlah RM1.665 juta bagi projek jalan raya tersebut daripada kerajaan Sarawak.

Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Sibu, Mohamad Muazziz Othman, dan Pegawai Daerah Kanowit, Jackline August Jahar, antara kenamaan yang hadir pada majlis tersebut.



image Polls
image Announcement