News

 

Penerima pampasan tanah diingatkan tidak membazir wang yang diterima

Posted on 18 Jul 2024
Source of News: Suara Sarawak

Anyi (tiga kiri), yang disaksikan oleh Muazziz (dua kiri), Jackline (dua kanan) dan lain, menyerahkan cek pampasan kepada seorang penerima.

KANOWIT: Penerima pampasan tanah daripada Kerajaan Sarawak diingatkan supaya tidak membazir wang pembayaran tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana, berkata pampasan itu tidak seharusnya dibazirkan begitu sahaja tanpa tujuan.

“Gunakan wang itu untuk perkara yang bermanfaat sahaja.

“Misalnya, mereka yang mempunyai anak-anak sekolah, gunakan pampasan itu untuk menyekolahkan anak-anak hingga ke menara gading.

“Menabunglah atau simpan wang ini untuk kegunaan masa hadapan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek Pampasan Tanah Bagi Projek Jalan Nanga Kabah-SK Beguang-Sungai Song, Kapit (Fasa 1) Sektor Sibu di Rumah Asay Abol, Nanga Kabah, Jalan Nibong-Tada di sini semalam.

Beliau berkata, pembayaran pampasan itu merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak untuk memberikan kemudahan kepada rakyat agar tiada sesiapa berasa ketinggalan daripada arus pembangunan.

Menurutnya, Kerajaan Sarawak tidak akan mengambil tanah rakyat yang terlibat dengan projek kerajaan secara percuma, sebaliknya pampasan akan dibayar berdasarkan kepada peruntukan dalam Kanun Tanah Negeri Bab 81 dan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.

Pengambilan tanah adalah suatu perkara yang tidak dapat dielakkan bagi memastikan projek pembangunan dapat dilaksanakan untuk kepentingan awam, tegas beliau.

“Kerajaan perlu mengambil balik tanah, sama ada melibatkan tanah berhak milik ataupun tertakluk kepada tuntutan tanah NCR, bagi melaksanakan projek pembangunan infrastruktur demi kepentingan awam dan untuk memberi nikmat secara langsung kepada rakyat, seperti menyediakan prasarana serta infrastruktur yang lebih sempurna,” tegasnya.

Rentetan itu, Anyi menggesa penduduk di kawasannya untuk memberi kerjasama kepada semua usaha pembangunan yang hendak dilaksanakan oleh kerajaan.

Menurutnya, pembangunan tidak datang bergolek dan memerlukan tanah untuk dijalankan.

“Saya mahu penduduk yang terlibat dalam pembangunan, di mana tanah mereka hendak dibangunkan, supaya bekerjasama.

“Setiap tanah yang diambil pasti akan dibayar mengikut harga semasa, dan pada masa sama, kerajaan juga tak boleh mengambil tanah rakyat sesuka hati,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut, seramai 69 pemilik tanah telah menerima cek pampasan berjumlah RM1.665 juta bagi projek jalan raya tersebut daripada Kerajaan Sarawak.

Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Sibu, Mohamad Muazziz Othman, dan Pegawai Daerah Kanowit, Jackline August Jahar, antara kenamaan yang hadir pada majlis tersebut.



image Polls
image Announcement