News

 

69 terima cek pampasan tanah projek jalan negeri

Posted on 18 Jul 2024
Source of News: Utusan Borneo


Anyi menyerahkan cek pampasan tanah kepada salah seorang penerima sambil disaksikan Mohamad Muazziz (dua kiri), Jackline (dua kanan) dan Dennis (kanan) di Rumah Asay Abol, Kanowit.

KANOWIT: Seramai 69 pemilik tanah menerima cek pampasan berjumlah RM1.665 juta bagi projek jalan raya daripada kerajaan negeri di sini, hari ini.

Cek tersebut merupakan inisiatif kerajaan untuk memberikan kemudahan kepada rakyat agar tiada sesiapa berasa ketinggalan dalam arus pembangunan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Ngemah Anyi Jana berkata, Kerajaan Sarawak tidak akan mengambil tanah rakyat yang terlibat dengan projek kerajaan secara percuma, sebaliknya dibayar pampasan berdasarkan kepada peruntukan dalam Kanun Tanah Negeri Bab 81 dan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.

"Pengambilan tanah adalah suatu perkara yang tidak dapat dielakkan bagi memastikan projek pembangunan dapat dilaksanakan untuk kepentingan awam.

"Kerajaan perlu mengambil balik tanah sama ada melibatkan tanah berhak milik ataupun tertakluk kepada tuntutan tanah NCR untuk melaksanakan projek pembangunan infrastruktur untuk kepentingan awam dan demi memberi nikmat secara langsung kepada rakyat seperti menyediakan prasarana serta infrastruktur yang lebih sempurna," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Cek Pampasan Tanah Bagi Projek Nanga Kabah-SK Beguang-Sungai Song, Kapit (Fasa 1) Sektor Sibu di Rumah Asay Abol di Jalan Nibong-Tada di sini.

Anyi berkata, kerajaan komited untuk terus memperkasakan pembangunan di kawasan luar bandar bagi meningkatkan kegiatan ekonomi penduduk bagi memastikan Sarawak dapat mencapai sasaran sebagai negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.

"Pembangunan di luar bandar yang dapat meningkatkan pertumbuhan dan pembangunan ekonomi akan diberi penekanan oleh kerajaan.

"Oleh sebab itu, pembangunan infrastruktur asas seperti elektrik, air dan jalan raya di Sarawak perlu dilakukan secara berterusan dan berfasa," ujarnya.

Justeru katanya, jalinan kerjasama erat kerajaan persekutuan bersama Kerajaan Sarawak memudahkan lagi pelaksanaan program pembangunan di negeri ini.

"Antara projek-projek pembangunan infrastruktur yang diluluskan kerajaan termasuk kerja-kerja menaik taraf jalan pesisir, pelaksanaan projek jalan utama kedua, pembinaan jalan baharu, naik taraf jalan sedia ada, pembinaan jambatan, menara telekomunikasi, bekalan elektrik, bekalan air, Skim Penempatan Semula (SPS), Skim Pembesaran Kampung (SPK) dan projek-projek lain," jelasnya.

Sementara itu tambah Anyi, projek jalan di kawasan Nanga Kabah dijangka memberi impak positif kepada penduduk sekitarnya.

"Jika ada jalan raya, sememangnya kemudahan lain (projek pembangunan) akan menyusul dan memberi impak positif kepada penduduk di kawasan berkenaan.

"Apabila jalan sudah disediakan, tanah-tanah di sekitarnya akan 'hidup' untuk diguna pakai penduduk bagi menjalankan aktiviti lain seperti pertanian dan sebagainya," ujar beliau.

Hadir sama pada majlis itu, Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Sibu Mohamad Muazziz Othman, Pegawai Daerah Kanowit Jackline August Jahar da Ketua Polis Daerah Kanowit DSP Dennis Bunyam.



image Polls
image Announcement