News

 

Pendapatan Rakyat Betong Diperkasa Menerusi Pertanian Moden & Aktiviti Ekonomi Lain

Posted on 15 Jul 2024
Source of News: UKAS Sarawak

BETONG: Pendapatan rakyat di Bahagian Betong terus diperkasakan menerusi teknologi pertanian moden serta aktiviti ekonomi lain.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ke arah itu, wakil rakyat dari lapan kawasan di Betong melalui Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), Jabatan Pertanian dan agensi berkaitan lain perlu memperkukuhkan lagi kerjasama.

Menurut beliau, walaupun Bank Dunia telah mengiktiraf Sarawak sebagai wilayah berpendapatan tinggi, namun pendapatan rakyat juga perlu dipastikan meningkat.

"Justeru kita berharap setiap isi rumah mampu menjana pendapatan hingga RM6,000 sebulan menjelang 2030," katanya.

Beliau berkata demikian semasa majlis penyerahan pampasan berjumlah RM2.475 juta kepada 100 pemilik tanah yang terlibat dalam projek membina dan menaik taraf Jalan Ulu Paku-Ulu Kota dan Jalan Saka, Betong ke SK Paku Central di sini, pada Isnin.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar Dato Gerald Rentap Jabu dan ADUN Krian Friday Belik.

Datuk Amar Douglas Uggah menambah, BDDA juga telah memperuntukkan RM265 juta untuk melaksanakan pelbagai program ekonomi di lapan kawasan di bawah agensi tersebut.

Jelasnya, ini termasuk membina jalan ladang, aktiviti pertanian moden, membina industri makanan dan kraftangan, penternakan dan lain-lain.

Dalam pada itu, jelas beliau, kerajaan juga turut memperkasakan pembangunan infrastruktur asas.

"Antaranya pembinaan lapangan terbang landasan pendek (STOLport) Bebuling yang bernilai RM296 juta dan dijangka siap pada Ogos tahun depan, Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) bernilai RM17 juta selain taman agro di Bebulling dan Lubok Tamang.

"Kerajaan juga telah meluluskan RM60 juta untuk menambahbaik sistem saliran di Taman Agro Bebulling dan RM40 juta lagi untuk pembangunannya," jelasnya.

Mengenai cadangan kawasan penanaman padi moden Tanjung Sebekut di Spaoh, beliau berterima kasih kepada kerajaan kerana telah memperuntukkan RM50 juta untuk menaik taraf sistem perparitan dan pengairan.

“Kami berharap dapat menggunakan teknologi dan menyasarkan lima tuaian setiap dua tahun dengan satu hektar dapat menghasilkan lapan tan," ujarnya sambil berharap dapat menggunakan benih hibrid daripada syarikat Green World Genetics yang beroperasi di Simpang Debak, Spaoh.-EDISI UKAS


image Polls
image Announcement