News

 

Pampasan lebih RM2.475 juta diterima 110 pemilik tanah bagi dua projek pembinaan jajaran jalan sepanjang 15km

Posted on 15 Jul 2024
Source of News: Suara Sarawak

Uggah (dua kiri) menyampaikan cek pampasan kepada seorang pemilik tanah pada satu majlis penyerahan cek pampasan di Betong, hari ini. - Foto: Osman Razali

BETONG: Kerajaan membayar RM2,475,478.70 pampasan kepada 110 pemilik tanah bagi dua projek pembinaan jalan membabitkan jajaran sepanjang 15 kilometer.

Cek pampasan disampaikan oleh Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Sarawak, Bahagian Betong, hari ini.

Projek pertama membabitkan pengambilan tanah bagi menaik taraf jalan dari Saka ke Spaoh dan Sekolah Kebangsaan (SK) Paku Central.

Projek yang berkeluasan 15.11 hektar itu melibatkan 74 lot tanah berhak milik dan 68 lot Tanah Hak Adat Bumiputera dan Tanah Rizab Komunal Bumiputera.

Jumlah pampasan yang dibayar ialah RM1,612,578.60 membabitkan 142 lot dengan 89 pemilik (penerima pampasan).

Sementara projek kedua adalah membina dan menyiapkan jalan perhubungan Ulu Paku-Ulu Kota, dan menaik taraf Jalan Ulu Paku di bawah Keutamaan Satu (Seksyen Tiga).

Projek yang berkeluasan 16.65 hektar itu melibatkan empat lot tanah berhak milik dan 18 lot Tanah Hak Adat Bumiputera.

Jumlah pampasan yang dibayar ialah RM862,900.10 membabitkan 22 lot dengan 21 pemilik (penerima pampasan).

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Gerald Rentap Jabu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik, Residen Bahagian Betong, Richard Michael Abunawas, dan Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Betong, Moris Nayup, turut hadir sama.



image Polls
image Announcement