News

 

Tingkat pendapatan rakyat di Betong jadi keutamaan

Posted on 15 Jul 2024
Source of News: Utusan Borneo

Uggah menyerahkan cek pampasan kepada salah seorang pemilik tanah, Tony Malang Chabu. Turut kelihatan (dari kanan) Friday, Rentap dan Morris (kiri).

KUCHING: Meningkatkan pendapatan rakyat menerusi pertanian moden dan aktiviti ekonomi lain di Betong kini menjadi keutamaan, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau bercadang untuk mencapai perkara itu bersama wakil rakyat dari lapan kawasan di bahagian Betong melalui Agensi Pembangunan Bahagian Betong ( BDDA), Jabatan Pertanian dan semua agensi lain yang berkaitan, tambahnya.

Katanya lagi, Bank Dunia baru-baru ini mengiktiraf Sarawak sebagai wilayah berpendapatan tinggi.

"Tetapi kita mesti memastikan pendapatan rakyat kita juga meningkat... sasaran ialah menjelang 2030 setiap isi rumah boleh memperoleh pendapatan RM6,000 sebulan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Pampasan kepada pemilik tanah yang terkesan oleh projek pembinaan dan naik taraf dua jalan di Betong hari ini.

Projek tersebut ialah Jalan Penghubung Ulu Paku-Ulu Kota dan Jalan Tengah Saka, Betong ke SK Paku.

Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata bagi memudahkan sasaran itu dicapai, BBDA memperuntukkan RM265 juta bagi melaksanakan pelbagai program ekonomi di lapan kawasan di bawahnya.

Ini katanya termasuk membina jalan ladang, mengukuhkan aktiviti pertanian moden, membangunkan industri makanan, kraf tangan, penternakan dan lain-lain.

“Sesetengah daripada kita di bahagian ini terutama pekebun kelapa sawit dan lada serta nelayan laut dalam  sudah pun berpendapatan tinggi tetapi kita mahu lebih ramai menyertai kumpulan ini.

"Oleh sebab itu kerajaan telah memperkenalkan banyak program dan memperuntukkan dana yang sangat besar untuk membiayainya," ujarnya. 

Beliau berkata ketika rakyat dibantu menerusi program-program ini, kerajaan juga telah memperkukuhkan infrastruktur asas diperlukan.

Antaranya ialah pembinaan STOLport Bebulling bernilai RM296 juta yang dijangka siap pada Ogos tahun depan, Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) bernilai RM17 juta terletak berhampiran STOLport ini serta pembukaan dua taman agro di Bebulling dan Lubok Tamang.

Uggah berkata kerajaan telah meluluskan RM60 juta bagi menaik taraf sistem perparitan di Taman Agro Bebuling dan satu lagi akan dibangunkan melibatkan kos berjumlah RM40 juta.

Menyentuh cadangan kawasan penanaman padi moden Tanjung Sebekut di Spaoh, beliau berterima kasih kepada kerajaan kerana memperuntukkan RM50 juta bagi menaik taraf sistem saliran dan pengairan di situ.

"Kemudian kita berharap dapat menggunakan teknologi baharu dan memperkenalkan penggunaan mesin dalam penanaman hingga proses penuaian.

"Kita menyasarkan lima tuaian setiap dua tahun tempoh penanaman dan dengan satu hektar menghasilkan lapan tan.

"Menerusi hasil dan pendapatan yang lebih baik serta beban kerja yang lebih mudah melalui penggunaan teknologi dan mesin, kita berharap dapat menarik minat belia untuk menanam padi secara komersial," ujarnya.

Uggah juga berkata beliau sedang meneliti benih hidrid daripada syarikat Green World Genetics yang beroperasi di Simpang Debak di Spaoh, ketika ini menjalankan kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan ke atas benih serta bahan penanaman lain.

“Kita juga memerlukan rantaian bekalan yang lengkap terutama unit pemasaran. Jadi saya melihat kepada Pertubuhan Peladang Saribas untuk memenuhi peranan ini," tambahnya.

Mengenai kawasan Bukit Saban, Uggah berkata sejumlah RM60 juta telah diperuntukkan untuk pelbagai aktiviti pertanian.

Beliau gembira mengetahui apabila petani di Betong telah mula menerima konsep pertanian baharu seperti hidroponik dan fertigasi.

"Sekarang kita ada enam rumah hijau di Simpang Layar di mana seorang usahawan menanam tembikai batu.

"Terdapat sebuah rumah panjang di Engkerbai, orang ramai menanam halia menggunakan konsep fertigasi. Mereka kini melakukan penanaman kedua. Penanaman dan penuaian pertama mereka telah memperoleh jualan RM53,000," katanya.

Uggah menambah, pihaknya turut menggalakkan lebih 100 keluarga menternak ayam kampung.

"Kita juga mencadangkan program baharu iaitu penternakan udang kara dan penternakan lembu secara komersial," katanya.

Dalam pada itu beliau mengingatkan orang ramai khususnya golongan petani agar melaksanakan tanggungjawab masing-masing untuk menjayakan usaha mereka.

"Mereka mesti kekal berdaya tahan dan komited," tegasnya.

Sementara itu pada majlis tersebut Uggah menyerahkan pampasan dengan jumlah keseluruhan RM2,475,478 kepada 100 pemilik tanah yang terjejas akibat pembinaan atau naik taraf Jalan Penghubung Ulu Paku-Ulu Kota dan Jalan Tengah Saka Betong ke SK Paku.

Hadir sama ADUN Layar Dato Gerald Rentap Jabu dan ADUN Krian Friday Belik serta Superintenden Jabatan Tanah dan Survei Betong Morris Nayup.



image Polls
image Announcement