News

 

Cukai tanah tak pernah disemak untuk tempoh hampir 30 tahun: Wong

Posted on 15 Jul 2024
Source of News: Utusan Borneo


Wong (dua kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Serimah sambil diperhatikan Ting (kiri), Wong Hua (tiga kiri) dan Teo (kanan) ketika sesi dialog bersama Jabatan Tanah dan Survei Sibu, hari ini.

SIBU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan Dato Sri Wong Soon Koh berkata, premium atau cukai tanah di negeri ini tidak pernah disemak untuk tempoh hampir 30 tahun.

Oleh itu katanya, ramai pemilik tanah mungkin tidak sedar kawasan tanah mereka sudah diklasifikasi daripada tanah luar bandar kepada kawasan tanah pinggir bandar.

"Mungkin kita juga harus beritahu semua pemilik tanah yang kerajaan tidak pernah menyemak premium, cukai atau sewa tanah ini untuk tempoh hampir 30 tahun lepas. 

"Ini antara isu yang kita harus beritahu rakyat terutama pemilik tanah bagaimana tanah mereka diklasifikasi dan apakah kriteria yang menjadi dasar klasifikasi tersebut," ujarnya.

Wong berkata demikian ketika berucap pada Sesi Dialog Pemimpin Kawasan ADUN Bawang Assan dan ADUN Dudong bersama Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sibu di sebuah hotel di sini, hari ini.

Sesi dialog itu dianjurkan oleh Parti Demokratik Progresif (PDP) Bawang Assan.

Hadir sama ialah Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Joshua Ting, Bendahari Kehormat PDP merangkap Ketua PDP Dudong Datuk Teo Boon Siew, Penilai Kanan JTS Sibu Serimah Bol, pengerusi penganjur dialog merangkap Ketua PDP Bawang Assan Kapitan Wong Hua serta yang lain. 
 
Naib Presiden Kanan PDP itu memberitahu, baru-baru ini beberapa pemilik tanah telah berjumpa dengan pemimpin dan kakitangan PDP untuk bertanya mengenai isu tanah, terutamanya kadar bayaran untuk pembaharuan pajakan tanah atau sewa tanah.

"Mereka tidak memahami mengapa sesetengah pemilik tanah hanya perlu bayar RM200 bagi setiap ekar, manakala tanah di kawasan berdekatan ataupun bersebelahan perlu membayar RM2,500 setiap ekar untuk pembaharuan pajakan tanah. 

"Perkara inilah antara isu yang mereka ingin penjelasan daripada JTS. Di kawasan tertentu seperti tanah di zon pembinaan kapal, sewa pajakan dinaikkan secara mendadak sehingga mencapai peningkatan sebanyak beratus-ratus peratus. Di kawasan bandar, sewa pajakan juga meningkat dengan ketara," jelasnya.

Wong berharap agar sesi dialog tersebut dapat membuahkan hasil supaya semua peserta yang hadir yang juga merupakan pemimpin di kawasan masing-masing dapat menjelaskan dan berkongsi semua perkara berkaitan tanah kepada penduduk yang memiliki tanah.
 
Dengan itu katanya, mereka lebih memahami isu dan perkara berkaitan tanah, termasuklah pengurusan tanah, pembahagian tanah dan sebagainya.
Wong (dua kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Serimah sambil diperhatikan Ting (kiri), Wong Hua (tiga kiri) dan Teo (kanan) ketika sesi dialog bersama Jabatan Tanah dan Survei Sibu, hari ini.


image Polls
image Announcement