Sarawak Masih Diiktiraf Negeri Berpendapatan Tinggi 2024
Posted on 06 Jul 2024
Source of News: UKAS Sarawak
KUCHING: Sarawak masih mengekalkan statusnya sebagai negeri berpendapatan tinggi setelah Bank Dunia sekali lagi mengesahkan pengiktirafan tersebut baru-baru ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, beliau dimaklumkan bahawa Pendapatan Negara Kasar (GNI) per kapita Sarawak meningkat kepada USD17,000 berbanding USD15,000 pada tahun lepas.
Menurut beliau, pencapaian ini benar-benar menunjukkan Sarawak berjaya meningkatkan taraf hidup penduduknya dan mewujudkan peluang ekonomi yang baik.
"Bank Dunia semalam mengesahkan bahawa Sarawak masih dikekalkan sebagai negeri berpendapatan tinggi berdasarkan kenaikan GNI per kapita.
"Memang tidak dinafikan bahawa kemiskinan kita (Sarawak) masih ada, sehingga sesetengah individu membandingkan Sarawak dengan negeri Perlis yang tidak berdepan isu kemiskinan.
"Sarawak walaupun berpendapatan tinggi, masih ada 'pockets of poverty', kalau nak dibandingkan, keluasan Perlis umpama setengah daripada Bandaraya Kuching sahaja, sedangkan kawasan kita dari selatan ke utara sahaja sama besar dengan seluruh Semenanjung.. belum termasuk memperbaiki infrastruktur dan meningkatkan pendidikan.
"Cuba anda bayangkan dengan keluasan yang Sarawak ada, berapakah jumlah kos yang diperlukan?,"katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan penutupan Hari Inovasi dan Integriti Tanah dan Survei Sarawak (HIITS) 2024 bertemakan 'Keutuhan Integriti Tunjang Kelestarian Inovasi', di sini pada Jumaat.
Dalam majlis itu, Datuk Patinggi Abang Zohari turut menyaksikan penganugerahan kepada beberapa projek dan individu yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam bidang inovasi dan integriti.
Antara anugerah yang diberikan termasuk Anugerah Inovasi Transformasi Penyampaian Perkhidmatan, Anugerah Inovasi Sosial, Anugerah Inovasi Kelestarian Alam Sekitar, Anugerah Inovasi Transformasi Digital, Anugerah Khas Kepimpinan Inovasi, Anugerah Montaj Terbaik dan Anugerah Persembahan Terbaik.
Hadir sama ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti Dan Ombudsman) Datuk Dr. Juanda Jaya, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli Dan Pembangunan Bandar Sarawak Datu Abdullah Julaihi, Pengarah JTS Sarawak Awang Zamhari Awang Mahmood serta dif-dif kenamaan lain.
HIITS 2024 diadakan selama tiga hari bermula 3 Julai lalu di Hotel Waterfront Kuching untuk pembentangan projek-projek inovasi melalui Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Peringkat JTS Sarawak.-Edisi UKAS