News

 

Premier Sarawak Cadang Kerajaan Persekutuan Contohi Proses Desentralisasi

Posted on 06 Jul 2024
Source of News: UKAS Sarawak

KUCHING: Kerajaan Persekutuan dicadang untuk mencontohi pendekatan proses desentralisasi yang dilaksanakan Sarawak bagi memperkasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, terdapat sembilan agensi pembangunan telah ditubuh di negeri ini untuk memperkasa pemimpin luar bandar.

Menurut beliau, setiap agensi berkenaan diperuntukkan sebanyak RM1.5 bilion untuk diguna (melaksanakan projek) dalam tempoh tiga tahun berdasarkan kemahuan akar umbi, sebelum menerima dana tambahan.

“Jadi maknanya, pembuatan keputusan diuruskan oleh pemimpin tempatan melalui proses desentralisasi. Jika tidak, semuanya akan diuruskan secara pusat di Petra Jaya, di Wisma Bapa Malaysia.

"Oleh itu, saya cadangkan Putra Jaya memberi kuasa kepada PBT untuk melaksanakan projek, bukan semua tetapi sebahagian projek tertentu. Contohnya pembinaan sekolah atau klinik daif, kita boleh laksanakan asalkan ada dana diberikan di bawah bidang kuasa Perlembagaan Malaysia.

"Sekiranya tidak dapat melaksanakan sesuatu projek, berikan kuasa kepada kita supaya kita tidak perlu menunggu umpama mencari sungai yang tiada berhulu,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Hari Inovasi dan Integriti Tanah dan Survei Sarawak (HIITS) 2024 bertemakan 'Keutuhan Integriti Tunjang Kelestarian Inovasi', di sini pada Jumaat.

Dalam ucapan sama, Datuk Patinggi Abang Zahari telah memuji langkah progresif yang diambil Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak dalam memperbaharui dan meningkatkan kecekapan operasi mereka dengan menggunakan inovasi Kecerdasan Buatan (AI) dalam proses penyukatan tanah.

Jelasnya lanjut, penggunaan AI, terutamanya teknologi AI generatif, telah membawa transformasi besar dalam bidang penyukatan tanah sehingga membolehkan pemetaan dan analisis data tanah dilakukan dengan lebih cepat dan tepat, seterusnya memudahkan proses perancangan dan pembangunan tanah di Sarawak.

"JTS berada di barisan hadapan dalam penggunaan teknologi ini di Malaysia sehingga ramai pelawat dari Semenanjung yang datang untuk mempelajari kaedah kita menggunakan teknologi dalam pengurusan.

"Saya yakin masa depan kita cerah dengan adanya pendekatan rekod data kita yang ada, kalau nak menyukat tanah pun cepat, mahu tidak mahu saya terpaksa menambah lagi tugas JTS yang bukan sahaja melibatkan pengukuran tanah di darat, tetapi juga di laut.

"Maafkan saya, ini kerana ekonomi kita telah beralih ke arah ekonomi hijau yang melibatkan keseluruhan spektrum, keseluruhan sektor strategik ekonomi kita,"tambahnya.

Pada majlis tersebut, Datuk Patinggi Abang Zohari turut menyaksikan penganugerahan kepada beberapa projek dan individu yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam bidang inovasi dan integriti.

Antara anugerah yang diberikan termasuk Anugerah Inovasi Transformasi Penyampaian Perkhidmatan, Anugerah Inovasi Sosial, Anugerah Inovasi Kelestarian Alam Sekitar, Anugerah Inovasi Transformasi Digital, Anugerah Khas Kepimpinan Inovasi, Anugerah Montaj Terbaik dan Anugerah Persembahan Terbaik.

Hadir sama ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti Dan Ombudsman) Datuk Dr. Juanda Jaya, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli Dan Pembangunan Bandar Sarawak Datu Abdullah Julaihi, Pengarah JTS Sarawak Awang Zamhari Awang Mahmood serta dif-dif kenamaan lain.-Edisi UKAS


image Polls
image Announcement