News

 

JTS guna teknologi AI sukat tanah

Posted on 06 Jul 2024
Source of News: Utusan Sarawak

KUCHING: Inisiatif Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam menyukat tanah dianggap sebagai satu pencapaian penting dalam usaha negeri untuk terus maju dalam era digital.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penggunaan teknologi seperti AI generatif telah membawa transformasi besar dalam bidang penyukatan tanah.

"Teknologi ini dapat membantu dalam penilaian harta menggunakan algoritma AI untuk melihat trend pasaran dengan data yang ada, pemprosesan data sebenar, dan juga masa nyata.

"Ini penting kerana melibatkan perancangan, pengurusan pendaftaran tanah, dan mendapatkan nilai tambah dari AI generatif.

"Oleh itu, dengan penggunaan teknologi ini, kita boleh memproses dan menyimpan data dalam satu platform dan mengekstrak data secara masa nyata," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Hari Inovasi dan Integriti Tanah dan Survei (HIITS) 2024 di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Abang Johari turut menjelaskan bahawa teknologi AI generatif membolehkan pemetaan dan analisis data tanah dilakukan dengan lebih cepat dan tepat, sekali gus memudahkan proses perancangan dan pembangunan tanah di Sarawak.

"Oleh itu, kita berada di barisan hadapan dalam penggunaan teknologi ini.

“Kita menerima banyak pelawat dari Semenanjung yang datang untuk belajar bagaimana kita menggunakan teknologi ini,” katanya.


image Polls
image Announcement