News

 

'Projek bekalan air persekutuan yang bermasalah' - Abang Johari

Posted on 06 Jul 2024
Source of News: Utusan Sarawak

KUCHING: Bekalan air yang dibiayai oleh kerajaan Sarawak tidak mengalami sebarang masalah, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Premier Sarawak itu menegaskan bahawa bekalan air yang dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan di negeri ini mengalami masalah.

“Ketua Audit Negara memaklumkan bahawa Sarawak mengalami masalah air tetapi yang dibiayai oleh kerajaan Sarawak tiada masalah.

“Saya letak RM4 billion (peruntukan bekalan air) ketika menjadi Ketua Menteri dan Premier Sarawak, terpaksa menggunakan duit sendiri tetapi yang bermasalah ialah bekalan air yang dibiayai oleh Persekutuan.

“Semuanya dibuat di Putrajaya, perunding dan syarikat juga Putrajaya yang melaksanakannya, perlu ikut cara mereka. Itu masalahnya, kadang-kadang duit (peruntukan) tidak datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Hari Inovasi dan Integriti Tanah dan Survei (HIITS) 2024 di sini, malam tadi.

Terdahulu, menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2024 Siri 2, gangguan bekalan air di Sabah dan Sarawak yang tidak ditangani dengam baik menyebabkan penduduk luar bandar masih tidak dapat menikmati bekalan air bersih dan terawat.

Laporan itu menyatakan bahawa secara keseluruhannya Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Sarawak dan Sabah tidak mencapai objektif yang tidak ditetapkan.

Dalam pada itu, Abang Johari juga turut menjelaskan bahawa Sarawak memerlukan pendapatan yang tinggi bagi mengurangkan kemiskinan di negeri ini.

Katanya, kerajaan Sarawak sentiasa mendahulukan peruntukan untuk infrastruktur seperti sekolah dan klinik daif.
“Jika infrastruktur ini tiada di luar bandar, memang kita akan menghadapi masalah besar,” katanya.

Sementara itu, Abang Johari berkata Kerajaan Persekutuan sepatutnya menurunkan kuasa kepada agensi pembangunan Sarawak untuk melaksanakan projek seperti membina semula dan menaik taraf sekolah atau klinik daif di negeri ini.

Katanya, rakyat Sarawak mempunyai pengetahuan dan keupayaan untuk menguruskan projek-projek ini jika dibekalkan dengan dana yang diperlukan.

"Jika mereka tidak dapat melaksanakan projek tempatan, beri kuasa kepada kerajaan Sarawak untuk melakukannya.
“Sepatutnya tiada masalah untuk melaksanakan projek itu," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa Kerajaan Persekutuan untuk mencontohi pendekatan desentralisasi Sarawak iaitu menurunkan kuasa dalam memperkasakan pihak agensi pembangunan.

Abang Johari turut menjelaskan bahawa sembilan agensi pembangunan di Sarawak seperti Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA)

telah ditubuhkan untuk memperkasakan pembangunan wilayah dengan masing-masing menerima peruntukan RM1.5 bilion untuk digunakan dalam tempoh tiga tahun sebelum dana tambahan diperuntukkan.

“Ini bermakna membuat keputusan dikendalikan oleh pemimpin tempatan (melalui agensi itu) yang kita panggil desentralisasi.

"Jika tidak, semuanya akan diuruskan secara berpusat di Petra Jaya, semuanya dilakukan di Wisma Bapa Malaysia," katanya.

Pada majlis yang sama, Abang Johari turut menyempurnakan majlis penyampaian anugerah kepada pegawai dan kakitangan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak.

Mengenai HIITS 2024, program yang berlangsung pada Rabu lalu hingga hari ini menyaksikan pembentangan projek-projek inovasi melalui Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif Peringkat JTS Sarawak.


image Polls
image Announcement