News

 

JTS Sarawak Perkukuh Tadbir Urus Integriti & Tangani Rasuah

Posted on 04 Jul 2024
Source of News: Ukas Sarawak

KUCHING: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak kini dalam proses pembangunan untuk menyediakan Sistem Pengurusan Anti Rasuah atau 'Anti Bribery Management System' (ABMS) ISO 37001:2016 dengan skop tajuk 'Provision of Land, Planning, Valuation, Survey and Enforcement Of The Land Laws Under The Sarawak Land Code'.

Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, manual ini merupakan salah satu langkah proaktif untuk memperkukuhkan tadbir urus integriti dan menangani isu rasuah.

"Dengan adanya pensijilan ABMS MS ISO 37001: 2016, ia adalah jaminan kepada masyarakat bahawa JTS Sarawak mempunyai prosedur dan perlindungan yang mencukupi daripada rasuah.

"Ia juga mempertingkatkan reputasi JTS sebagai sebuah jabatan yang memiliki integriti tinggi dan pendirian tanpa kompromi serta toleransi sifar terhadap rasuah. Syabas JTS atas inisiatif ini!,"katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee dalam sesi khas sempena program Hari Inovasi dan Integriti JTS Sarawak (HIITS) 2024 di sini pada Rabu.

Pada masa sama, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar juga mengucapkan syabas kepada JTS kerana telah memenangi Anugerah Emas pada Anugerah Integriti, Governans dan Anti Rasuah 2023 pada penyertaan pertama.

Katanya, ia merupakan satu lagi jaminan yang membuktikan betapa utuhnya integriti di JTS, sesuai dengan tema HIITS 2024, 'Keutuhan Integriti, Tunjang Kelestarian Inovasi'.

"JTS berada di landasan yang betul
dalam mewujudkan dasar dan struktur tadbir urus yang jelas untuk menggalakkan integriti dan membimbing tingkah laku beretika dalam kalangan warga JTS.

"Justeru, saya menyeru semua untuk mengekalkan dan memperhebatkan lagi usaha ini,"tambah beliau.

Terdahulu, Pengarah JTS Sarawak, Awang Zamhari Awang Mahmood berkata, HIITS diadakan untuk mengerak, menyemarak dan membudaya warga JTS dengan aktiviti inovatif dan kreatif melalui Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK).

Tambahnya lagi, ia juga bagi memberi pengiktirafan kepada warga JTS yang menterjemahkan tahap integriti tinggi dalam keperibadian mereka dengan dianugerahkan sebagai Pegawai Integriti.

"Melalui Konvensyen KIK di bawah platform HIITS ini, warga JTS berpeluang meneroka pembaharuan dan penambahbaikan terhadap proses dan prosedur kerja secara kreatif serta mencipta inovasi baharu,"jelas beliau.

Dalam program tersebut, Datu Hii yang mewakili Datuk Amar Mohamad Abu Bakar telah menyempurnakan penyampaian sijil penyertaan kepada 13 KIK JTS Sarawak sekaligus menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun 2023 kepada 100 pegawai dan kakitangan dari Ibu Pejabat JTS Kuching, Samarahan dan Serian.

HIITS 2024 berlangsung selama dua hari sehingga Khamis ini bertempat di Hotel Waterfront Kuching.-Edisi UKAS


image Polls
image Announcement