News

 

Jambatan kedua Batu Kawa, jalan akses baharu bernilai RM160 juta diharap dapat dibina secepat mungkin

Posted on 29 Jun 2024
Source of News: Suara Sarawak


Dr Sim (tengah) menyaksikan aktiviti pengukuran tanah yang dijalankan oleh Jabatan Tanah dan Survei.


KUCHING: Kawasan Batu Kawa kini semakin maju ke hadapan setelah kerja-kerja tinjauan tanah bagi projek jambatan kedua Batu Kawa dan jalan akses baharu di kawasan tersebut selesai.

Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, berkata kemajuan tersebut menandakan satu langkah penting ke arah mengurangkan kesesakan lalu lintas yang teruk di kawasan itu.

“Saya amat memuji Jabatan Tanah dan Survei atas kerja keras mereka yang menekankan kepentingan mempercepatkan peringkat seterusnya dalam projek tersebut.

 

“Projek bernilai RM160 juta itu merangkumi pembinaan jambatan kedua merentasi Sungai Sarawak dan jalan dua hala baharu sepanjang lebih lima kilometer, dan ia direka bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas yang kini memberi kesan kepada pengguna Jalan Batu Kawa dan Jambatan Datuk Chong Kiun Kong.

“Justeru, saya berharap agar pembinaan dapat dimulakan secepat mungkin untuk memberi manfaat kepada penduduk Batu Kawa yang semakin berkembang pesat,” menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Sim, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawa, berkata bahawa tekad dan matlamatnya sebagai seorang ADUN adalah untuk menyelesaikan isu kesesakan lalu lintas melalui pembinaan jalan baharu.

Katanya, antara projek-projek yang telah berjaya disiapkan adalah Jalan Tan Sri Wee Boon Ping yang menghubungkan Jalan Stephen Yong dengan Batu 4½ , jalan akses baharu dari Kampung Segedup ke Jalan Sungai Maong dan Matang, serta jalan alternatif Taman Kwong Tiong.

“Jalan-jalan tersebut telah melancarkan aliran lalu lintas dengan ketara di kawasan tersebut.

“Selain itu, projek-projek yang sedang berjalan termasuk jalan akses baharu ke Jalan Ensing Timur dari Jalan Datuk Tan Men Chong dan Persimpangan Jalan Stapok Utama, serta jalan akses sepanjang tiga kilometer dari lampu isyarat Jalan Stephen Yong melalui Kampung Segedup ke Matang,” ujarnya.

Dr Sim menekankan bahwa kesemua projek jalan tersebut dibiayai oleh Kerajaan Sarawak, namun cukai jalan dikutip oleh Kerajaan Persekutuan.

Oleh itu, beliau menggesa Ahli Parlimen dari Sarawak untuk memperjuangkan lebih banyak projek pembangunan jalan raya yang dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan bagi menangani kesesakan lalu lintas di negeri ini.

 



image Polls
image Announcement