News

 

Jalan penghubung dari lampu isyarat Jalan Stephen Yong ke Matang dilulus

Posted on 29 Jun 2024
Source of News: Utusan Borneo

Dr Sim semasa mengadakan lawatan kerja ukur tanah di tapak Jambatan Kedua Batu Kawa, baru-baru ini.

KUCHING: Kerajaan telah meluluskan satu lagi jalan penghubung yang akan dibina tidak lama lagi, dari lampu isyarat Jalan Stephen Yong melalui Kampung Segedup ke Matang di sini.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian yang mengumumkan perkara itu berkata, jalan berkenaan melibatkan laluan sepanjang tiga kilometer dan telah dibiayai kerajaan negeri.

“Selain itu jalan baharu yang masuk ke Jalan Ensing Timur dari Jalan Datuk Tan Men Chong/persimpangan Jalan Stapok Utama, Batu Kawa sedang dalam pembinaan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan selepas mengadakan lawatan kerja ukur tanah di tapak pembinaan Jambatan Kedua Batu Kawa di sini, semalam.

Mengenai projek berkenaan, Dr Sim berkata dengan siapnya kerja ukur tanah Jambatan Kedua Batu Kawa dan jalan masuk baharu itu, beliau berharap kerja-kerja lain yang berkaitan dengan projek itu juga dapat disegerakan bagi memastikan pembangunan dapat dibina secepat mungkin.

Beliau memuji Jabatan Tanah dan Survei kerana kerja pantas mereka dalam menyelesaikan satu peristiwa penting dalam projek itu. 

“Langkah seterusnya ialah secara aktif mengendalikan urusan pengambilan tanah dan tender projek.

“Disebabkan pembangunan pesat Batu Kawa, terdapat peningkatan yang ketara dalam kedua-dua penduduk dan lalu lintas, yang membawa kepada kesesakan yang kerap di sepanjang Jalan Batu Kawa dan Jambatan Datuk Chong Kiun Kong,” katanya.

Menurut beliau, projek pembangunan besar-besaran dan penting ini akan menelan kos RM160 juta, meliputi pembinaan Jambatan Batu Kawa kedua di atas Sungai Sarawak serta jalan baharu dua laluan dengan panjang keseluruhan lebih lima kilometer. 

Tambah beliau, kedua-duanya akan membantu mengurangkan isu trafik semasa yang berterusan.

Dr Sim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawah berkata, sejak menjadi ADUN pada tahun 2016, beliau terus menumpukan usaha menangani isu kesesakan lalu lintas dengan membina jalan baharu bagi mengurangkan isu aliran trafik.

Antara jalan baharu yang telah siap dalam beberapa tahun kebelakangan ini termasuk Jalan Tan Sri Wee Boon Ping yang menghubungkan Jalan Stephen Yong ke Batu 4 ½, jalan masuk baharu dari Kampung Segedup ke Jalan Sungai Maong dan Matang serta Jalan akses alternatif Taman Kwang Tiong.

“Semua jalan baharu di atas terbuka kepada lalu lintas dan telah membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas yang teruk,” katanya.



image Polls
image Announcement