News

 

Projek naik taraf Jalan Ulu Sungai Merah bermula, dijangka siap dalam tempoh 24 bulan

Posted on 17 Apr 2024
Source of News: Utusan Borneo


(Dari tiga kiri) Dr Annuar, Tiang serta yang lain ketika sesi bergambar.

SIBU: Projek menaik taraf Jalan Ulu Sungai Merah yang menelan belanja sebanyak RM25.58 juta bermula hari ini dan dijangka siap dalam tempoh 24 bulan.

Perkara itu diumumkan Timbalan Menteri I Pendidikan, Inovasi, dan Pembangunan Bakat Datuk Dr. Annuar Rapaee serta Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan, dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang dalam sidang media bersama semalam.

Menurut mereka, projek tersebut melibatkan pembesaran jalan kira-kira sejauh 2.14 kilometer dari satu laluan, kepada dua laluan.

Laluan tersebut bermula dari persimpangan lampu isyarat di Jalan Ling Kai Cheng hingga ke Lorong Ulu Sungai Merah 48. 

“Projek ini akan mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut yang mempunyai kira-kira 3,000 isi rumah serta dua sekolah, iaitu SMK Sungai Merah dan SJKC Nang Sang dan sebuah gereja,” kata mereka.

Kedua-dua mereka turut mencadangkan kepada Jabatan Tanah dan Survei Sibu supaya mempertimbangkan pembinaan jejantas demi keselamatan pelajar sekolah.

Ini kerana, mereka bimbang lintasan zebra dan lampu isyarat mungkin boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas memandangkan terdapat dua buah sekolah di kawasan tersebut.

“Demi keselamatan pelajar-pelajar sekolah, kami berdua telah mencadangkan kepada JTS Sibu untuk mempertimbangkan untuk membina jambatan berbanding lintasan zebra dan lampu isyarat di bawah projek ini.

“Ini kerana kita bimbang ada pelajar yang tidak tahu menggunakan laluan zebra dengan betul sehingga mendatangkan bahaya kepada diri sendiri jika mereka hanya berlari menyeberang jalan.

“Atas sebab itu, kita rasa adalah lebih selamat untuk mempunyai jejantas (dari seberang jalan) menghadap SMK Sungai Merah ke perkarangan sekolah,” tambah mereka.

Mereka turut menjelaskan bahawa kos menaik taraf jalan tersebut tidak termasuk pemindahan atau penempatan semula utiliti yang dianggarkan mencapai RM8.5 juta. 

Justeru, mereka berharap projek ini memberi kesan positif kepada penduduk tempatan dengan meningkatkan keselamatan lalu lintas serta memperbaiki aksesibiliti ke sekolah dan kawasan kediaman.


 


Polls
Announcement