News

 

Lapan Pemain Golf Kibar Cabaran MAKSAK Sarawak Dalam MAKSAK Malaysia Games 2024

Posted on 18 Apr 2024
Source of News: Ukas Sarawak

KUCHING: Seramai lapan pemain dari pelbagai Jabatan dan Agensi Kerajaan Sarawak akan berangkat ke Johor Bahru bagi mewakili kontinjen Sarawak dalam acara golf dalam Majlis Kebajikan Dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Games 2024 Peringkat Kebangsaan yang berlangsung dari 23 sehingga 26 April depan.

Majlis penyerahan bendera kontinjen MAKSAK Sarawak telah disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia pada Rabu.

Terdahulu, kontinjen yang diketuai oleh Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Kuching, Sr Alfian Bawi memberikan sedikit maklumat mengenai acara yang dipertandingkan serta memperkenalkan barisan atlet yang bakal beraksi kelak kepada Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.

Menurut Sr Alfian, seramai lapan pemain akan bertanding dalam dua kategori dengan pecahan empat pemain bagi satu kategori.

“Kita akan pergi bersama dalam 14 orang termasuk lapan pemain dan yang selebihnya adalah urusetia bagi pasukan.

“Empat pemain akan bertanding untuk kategori ‘Gross’ dan empat lagi untuk kategori ‘Nett’,” katanya.

Dalam pada itu, sebanyak 16 badan gabungan bakal berentap di kejohanan tersebut termasuk  Majlis Sukan Angkatan Tentera, Majlis Sukan PDRM, Majlis Sukan Penjara, MAKSAK Johor, MAKSAK Kedah, MAKSAK Malaysia (HQ) dan lain-lain. - EDISI UKA


Polls
Announcement