picture

News

 

Kakitangan awam perlu tingkatkan kepakaran dalam teknologi baharu

Posted on 03 Mar 2024
Source of News: Suara Sarawak


KUCHING: Kakitangan awam perlu terus meningkatkan kepakaran dalam memahami pengurusan teknologi baharu yang diadaptasi di negeri ini, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Menurutnya, penjawat awam diberi tanggungjawab untuk melaksanakan segala dasar atau program yang dihasratkan oleh kerajaan demi mencapai matlamat yang diinginkan.

“Apatah lagi sekarang, Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sudah mula menerokai perkara-perkara baharu yang dahulunya tidak menonjol seperti ekonomi digital dan ekonomi baharu.

“Justeru, kita sebagai jentera kerajaan perlu meningkatkan kepakaran dalam bidang ini, supaya dapat memahami dan mempermudahkan segala pelaksanaan yang diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Karnival Sukan Jabatan Tanah dan Survei (LANDAS) (LASSCAR) 2024 di Penview Convention Centre (PCC) Demak di sini, pada Sabtu.

Menurutnya lagi, komitmen untuk mempelajari ilmu berkenaan teknologi baharu berdasarkan peraturan dan undang-undang berkaitan penting dan tidak dapat dielakkan.

“Banyak lagi bidang baharu di peringkat global yang perlu kita terapkan supaya dapat bersama-sama melonjakkan lagi ekonomi negeri selari dengan harapan rakyat.

“Justeru, kita (penjawat awam) perlu meningkatkan segala kemahiran dan pengurusan kerja dengan lebih baik supaya dapat meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat,” jelasnya.

Tambah Awang Tengah, perubahan sentiasa berlaku, justeru aktiviti ekonomi konvensional perlu diperbaiki sambil meneroka ekonomi baharu.

“Dengan komitmen dan kerjasama antara satu sama lain, kita akan dapat bergerak bersama-sama ke arah matlamat kita seperti yang dinyatakan dalam Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menyentuh mengenai anugerah yang diterima oleh LANDAS Sarawak.

“Tahniah kepada jabatan itu kerana berjaya mencapai anugerah tertinggi sama ada di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa. Saya harap ini akan menjadi pemacu untuk kita terus mara ke hadapan,” katanya.

Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Datuk Sr Zaidi Mahdi, dan tetamu kehormat yang lain.



picture Polls
picture Announcement