picture

News

 

Kakitangan awam perlu kuasai teknologi baharu

Posted on 03 Mar 2024
Source of News: Utusan Sarawak

KUCHING: Kakitangan awam khususnya anggota Jabatan Tanah dan Survei (JTS) perlu menguasai teknologi baharu bagi memudahkan pelaksanaan kerja sekali gus meningkatkan ekonomi negeri ini.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kepakaran dalam teknologi ini selaras dengan usaha kerajaan Sarawak dalam melaksanakan ekonomi digital mahupun ekonomi baharu.

“Ini memerlukan kita untuk terus meningkatkan kepakaran memahami teknologi yang diadaptasikan untuk memastikan kita sebagai jentera kerajaan bagi mempermudahkan segala pelaksanaan.

“Harapan rakyat meningkat dan kita harus pertingkatkan segala urusan kerja kita dengan baik. Malah kita dipertanggungjawabkan bersama untuk laksanakan apa jua dasar atau program yang dibuat oleh kerajaan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutupan karnival sukan Kelab Sosial dan Sukan Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (LANDAS) di Pusat Konvensyen Penview, di sini malam tadi.

Awang Tengah berkata, sukan yang melibatkan pelbagai Jabatan Tanah dan Survei ini sudah semestinya platform yang tepat dalam kalangan anggota jabatan itu sendiri.

“Kita memang mempunyai tugas dan tanggungjawab besar apatah lagi sekarang ini kita melaksanakan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), banyak perkara yang harus kita laksanakan.

“Tetapi pada masa sama, kita harus menjaga kesihatan kita, badan sihat sudah tentu akan menyumbang kepada pemikiran mental yang sihat.

“Kita mahu setiap anggota perkhidmatan awam kita sebagai tonggak dalam melaksanakan setiap projek, program atau dasar kerajaan. Kita mahu lihat mereka dalam keadaan yang sentiasa siap sedia untuk melaksanakannya. Jaga kesihatan kita dan sukan adalah salah satu daripadanya,” katanya.

Turut hadir, Pengarah Tanah dan Survei Sarawak, Datu Abdullah Julaihi, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Datu Sr Zaidi Mahdi dan dif kehormat yang lain.

Oleh NICKELYSON LAKUN


picture Polls
picture Announcement