JTS terima Anugerah Emas AIGA 2023
Posted on 02 Mar 2024
Source of News: Utusan Sarawak
KUCHING: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak menerima Anugerah Emas pada Majlis Anugerah Integriti, Governans dan Anti Rasuah (AIGA) 2023 anjuran Institut Integriti Malaysia (IIM) bertempat di Dewan Sri Siantan, di Putrajaya baru-baru ini.
Anugerah Emas ini telah disampaikan oleh Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia, Tan Sri Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali, yang mewakili Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, Dato Sri Fadillah Yusof.
Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Datu Abdullah Julaihi telah hadir bagi menerima anugerah ini.
Penyertaan JTS yang julung kali ini dengan pengiktirafan anugerah Emas AIGA membuktikan komitmen dan kesungguhan jabatan dalam pembudayaan dan amalan integriti serta tatakelola yang baik di Jabatan.
Hadir bersama mewakili JTS pada majlis itu adalah Timbalan Pengarah Pengurusan JTS, Awang Zamhari Awang Mahmood, Timbalan Pengarah Operasi, Rozlan Putit dan Pegawai Integriti Bertauliah, Siti Romiza Romali.
AIGA 2023 merupakan edisi ketiga penganjurannya oleh IIM sejak ia mula diadakan pada 2020.
Selain itu, AIGA 2023 telah menerima sejumlah 154 penyertaan dari agensi kerajaan dan swasta.
Antara kriteria yang dinilai pada Anugerah AIGA ini ialah pelaksanaan Anti-Bribery Management System (ABMS), Pelan Anti Rasuah Organisasi dan tambahan penilaian dari segi keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Datu Abdullah Julaihi (kanan) menerima anugerah yang disampaikan oleh Ahmad Tajuddin.